Saturday, October 1, 2011

Perkongsian: Selangkah ke Alam Perkahwinan

Menyebut tentang perkahwinan, ramai yang merasakan ianya sesuatu yang membebankan. Banyak perkara-perkara yang perlu difikirkan. Ramai orang Islam mengatakan Rasulullah SAW itu adalah petunjuk cara hidup yang terbaik. Apa yang dilakukan Rasulullah SAW adalah yang terbaik dan tiada apa yang terbaik melainkan baik-baik belaka.

Namun, di dalam perihal perkahwinan, lain pula yang dijadikan panduan. Entah dari mana agaknya datang panduan terbaru itu. Jika berpegang kepada Rasulullah SAW, perkahwinan adalah sesuatu yang memudahkan. Dalam konteks masyarakat zaman sekarang, perzinaan lebih mudah dari perkahwinan.


Penyumbang utamanya adalah ibu bapa yang terlampau ingin menunjukkan kehebatan anak mereka. Antara alasan yang diberikan ialah "Anak saya orang berpangkat tinggi", "Anak saya bergaji tinggi", "Anak saya lulusan luar negeri", "Anak saya mengaji di IPT", "Anak saya baru keluar pusat serenti"...

Mengikut Islam yang dibawa Rasulullah SAW, hukum nikah ada 5, Harus, Haram, Makruh, Sunat, Wajib. Dalam kandungan hukum itu pula, terdapat sesuatu yang disebut "mampu". Mengikut Islam, mampu ini bermaksud mampu dari segi tenaga. Entah, Islam manakah yang dipegang kebanyakan ibu bapa sekarang yang mengatakan mampu itu adalah dari segi kewangan dan harta. Mesti ramai yang akan menyanggah fakta ini dengan mengatakan, "Tak ada duit, nak bagi anak orang makan apa? Nak bagi anak-anak makan apa?" Itulah apa yang bermain di minda ibu bapa zaman sekarang.

Mampu dari segi harta belum tentu mampu untuk menggemkbirakan isteri. Disebabkan inilah mengapa mampu ini disebut mampu dari segi tenaga. Dengan tenaga, harta boleh dicari. Harta hanya mampu menggembirakan untuk sementara waktu sahaja. Allah SWT telah berfirman, kahwinlah nescaya rezeki akan diberikan melalui ayat 32 Surah An-Nur, yang bermaksud;

 Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.

Jadi, apakah yang ibu bapa khuatirkan lagi dengan harta? Bukankah Allah SWT sendiri memberikan jaminan kepada mereka ini? Bukankah dengan menolak jaminan Allah SWT ini menunjukkan anda telah menolak Allah SWT?

Menyebut tentang pernikahan pula, rukun nikah yang sepatutnya hanya ada 5, iaitu lelaki, perempuan, wali, dua orang saksi dan ijab serta qabul. Namun, sistem yang ada di Malaysia ini telah menyebabkan rukun nikah telah bertambah kepada beberapa rukun baru. Antaranya ialah sijil kursus perkahwinan dan ujian darah/kesihatan. Ini belum pula ditambah dengan rukun nikah baru yang diwujudkan oleh ibu bapa wanita itu yakni hantaran bernilai RM10 000 ke atas, barang-barang hantaran dan sebagainya. Alasannya adalah wang hantaran itu untuk perbelanjaan kenduri walimatul urus. Mashaallah. Yang nak berkahwin adalah anaknya, tetapi yang perlu menanggung perbelanjaan perkahwinan pula adalah si lelaki? Wahai ibu bapa yang mengaku muslim, sedarkah kamu apakah tanggungjawab ibu bapa yang disebut Rasulullah SAW?

Dilemma Ummat Islam Malaysia.

1 comment: