“Woi!! Korang nak tunggu pukul berapa baru nak bangun?” jerkahan dari Fauzi bergema hingga ke alam mimpiku menyebabkan tidurku terbantut. Ibu dan ayah tidak ada di rumah kah yang membuatkan Fauzi begitu berani untuk menjerit seperti itu?
Aku mengapai telefon bimbit yang berada di meja alas lampu tidur bersebelahan katil. Sudah hampir pukul 9.00 pagi. Ya Allah, aku sudah terlepas subuh! Ini gara-gara aktiviti mengacau dodol semalam yang habis dalam pukul 4.20 pagi. Akibat terlampau penat semalam, sampai sahaja aku di rumah ayah dalam pukul 5.00 pagi, terus aku terlena di atas sofa di ruang tamu. Entah bila agaknya aku masuk ke bilik. Adakah aku mengingau sambil berjalan semalam?
“Bangun mandi la! Kejap lagi kita ada aktiviti dalam pukul 11.00 pagi dekat sekolah.” Fauzi masih lagi membebel. Aku melihat Hafizh yang masih sama sepertiku. Dia hanya menggosok-gosok matanya. Masih lagi mengantuk seperti aku agaknya.
Aktiviti pada hari ini hanyalah penyampaian hadiah untuk pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga dalam pertandingan memasak dodol semalam, pertandingan nasyid antara budak-budak sekolah dan majlis penutupan program ini. Majlis penutupan pada hari ini akan dihadiri oleh wakil rakyat dari DUN kawasan itu. Entahlah siapa namanya, aku tidak berapa ingat. Fikiranku masih lagi buntu akibat baru bangun dari tidur.
Aduh! Kepalaku pening bagaikan terkena sesuatu. Celaka kau Fauzi, membaling tuala kepadaku dan Hafizh. Namun aku hanya tertawa. Ini bukanlah sesuatu yang patut aku marahkan. Memang salahku sendiri tidak bangun awal.
“Ayah dengan ibu tak ada ke?” Hafizh bersuara selepas mengalihkan tuala dimukanya.
“Diorang keluar kejap.”
“Pergi mana?”
“Pasar agaknya. Hoi! Dah la, pergi la mandi! Kejap lagi ayah dan ibu akan balik. Dah tu, takkan nak biarkan diorang tunggu korang? Cepat! Cepat! ” Fauzi berterus-terusan membebel. Ada juga rupanya lelaki yang kuat membebel. Ingatkan penyakit ini hanya dihidapi oleh kaum Hawa.
Aku mengambil keputusan untuk mandi selepas Hafizh, dapatlah aku melelapkan mata buat seketika sementara menunggu Hafizh mandi. Tanganku masih lagi kelenguhan akibat daripada mengacau dodol semalam. Memang betul seperti yang dikatakan pakcik itu, taktala dodol hampir masak, proses mengacaunya akan menjadi semakin sukar. Dan tidak disangka dodol yang dihasilkan oleh kumpulan Puteri UMNO mendapat tempat pertama. Jika dikira kesedapannya, dodol dari kumpulan yang mendapat tempat ketiga lebih sedap. Mungkin dari segi hiasan adalah menjadi satu kelebihan kepada mereka kerana mereka terdiri daripada golongan kaum Hawa. Kumpulan ayah pula hanya mampu mendapat tempat ke dua. Entah bagaimana mereka mengadilinya.
Air yang sejuk dan nyaman dari kolah bilik mandi rumah abah menghilangkan segala kelesuan dan perasaan mengantukku. Terasa diri ini segar kembali sedangkan sebentar tadi amat kelesuan. Perasaan aku mula merewang jauh mengingatkan kembali perbualan aku dengan gadis semalam. Apa yang aku lihat padanya sememangnya sama seperti apa yang ada pada Najwa. Namun, kecantikannya tidak mampu menandingi Najwa. Najwa jauh lebih cantik jika hendak dibandingkan dengannya. Baru aku sedar mengapa setiap kali aku memandangnya semalam aku amat senang hati. Dan baru aku sedar mengapa keromantikan ibu dan ayah telah membawa memoriku kepada Najwa.
Ternyata cabaran yang diberikan oleh kawan-kawanku membuka semula kotak memori lamaku akan Najwa. Sememangnya aku masih belum mampu melupakannya. Segala yang kami luangkan bersama masih segar di dalam ingatan. Tidak pernah aku padamkan segala gambar kenangan antara aku dan dia. Memang jelas ternyata, sikapnya yang sukakan budak-budak, cara percakapan dan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya sama seperti Najwa. Namun siapakah nama gadis itu?
“Hoi, tak inzal-inzal lagi ke dalam tu?” Kedengaran suara Hafizh dari luar dengan gelak tawanya.
Memang dia ni, tidak habis-habis hendak menyakat aku sejak dari semalam. Apa dia ingat beronani sahaja yang boleh duduk lama di dalam bilik mandi? Mengelamun pun boleh duduk lama tau!
“Aku dah siap la... Hampeh.” Aku hanya membalas pertanyaanya bersahaja. Namun jelas terukir senyuman dibibirku melalui cermin yang berada di dalam bilik mandi itu. Mungkin kerana memikirkan diriku yang boleh mengelamun ketika sedang mandi. Jikalau Hafizh tahu apa yang berlaku, mungkin lagi kuat gelaknya nanti. Asyik mengelamun sahaja aku dua hari ini. Perkara yang menceriakan dalam masa yang sama menyingkap memori yang mendukakan.
Suasana di dewan sekolah agak hingar. Kelihatan anak-anak yatim begitu gembira bermain-main sementara menunggu majlis bermula. Kasihan mereka, masih kecil. Namun tidak terukir sedikit pun perasaaan sedih diraut wajah mereka walaupun sudah melalui satu pengalaman yang memeritkan. Bagaimanalah rasanya bila aku sudah kehilangan mama nanti? Ketika ayah pergi, seminggu aku menjadi murung. Ya Allah, kau panjangkanlah umur mamaku. Semoga aku sempat membalas jasa beliau sebelum beliau pergi. Berikanlah aku satu peluang Ya Allah. Amin...
Majlis dimulakan dengan pertandingan nasyid yang disertai budak-budak semalam. Satu persatu kumpulan mempersembahkan nasyid mereka. Namun persembahan mereka itu tidak mampu menarik perhatian aku dari mencari dimanakah gadis yang bersembang bersamaku semalam. Mungkin belum datang lagi agaknya. Hafizh pula entah ke mana menghilang bersama-sama yang lain, Muslim, Zul, Faizal.
“tit! Tit!”
“Aku dekat bilik riadah block sebelah”
Mesej ringkas daripada Hafizh menjawab soalan aku dimana dia berada. Patutlah mereka lansung tidak kelihatan di sini lepas mengangkat bangku panjang dari kantin ke dewan. Mengelat rupanya. Sedang aku berjalan menuju ke block sebelah untuk melihat apa yang sedang Hafizh dan yang lain lakukan, aku terdengar deruman enjin kereta memasuki perkarangan sekolah. Pagar sekolah yang terletak tidak sampai 30 meter dari dewan tempat majlis berlansung membuatkan aku dapat melihat dengan jelas kereta apa dan siapa yang memandunya. Lainlah jikalau pemiliknya meletakkan lapisan filem gelap di cermin keretanya. Memang aku perlukan kuasa Superman untuk melihat siapa pemandunya.
Memang sah itu kereta budak perempuan semalam. Bernombor pendaftaran Negeri Melaka. Orang Melaka agaknya dia ini. Tanpa aku sedari langkahku terhenti di situ. Kereta Myvi itu betul-betul berhenti di hadapan aku. Setelah melucutkan tali pinggang keledar dan mematikan enjin, dia keluar dari keretanya, bersama seorang budak kecil. Anak diakah? Tidak mustahil zaman sekarang ini, pelajar university sudah berkahwin dan beranak pinak.
“Awak tak panas ke berdiri tengah panas ni?” Sapanya ketika berjalan menuju ke arah ku.
“Er... Er...” Aku gagap! Apa yang perlu akan jawab ini?
“Ya Allah, saya tanya panas ke tak panas la. Kenapa yang gagap ni?” Dia hanya tersenyum. Nakal juga rupanya ya. Aku turut tersenyum.
“Siapa budak ni?”
“Rabiatul.”
“Amboi, mesti kaya abangnya ni!” Aku membalas sambil menjelingkan mata bagaikan seorang Mami Jarum yang sedang mengorek rahsia untuk dicanang.
“Eh, awak ni, kesitu pula. Tak ada la, dia ni anak yatim piatu. Saya kesian tengok dia. Sebab tu saya bawa dia keluar sekejap tadi. Pergi pekan, belikan dia coklat.” Dia hanya membalas kata-kataku bersahaja, bagaikan mengetahui yang aku sedang berjenaka dengannya.
Rabiatul menarik-narik tangannya sambil menunjukkan ke arah tempat duduk. Mungkin hendak mengajak gadis ini duduk agaknya memandangkan anak-anak yatim lain yang juga seperti Rabiatul sudah mengambil tempat di dalam dewan. Agaknya, Rabiatul inginkan gadis ini duduk dia dan kawan-kawannya.
“Awak, saya pergi dulu ye. Rabiatul nak saya masuk ke dalam dewan agaknya.”
“Baik. Saya pun nak pergi ke bangunan sebelah kejap.” Aku membalas sambil melihat dia berlalu pergi memasuki dewan.
“Amboi, tak cukup lagi ke bersembang semalam?” Jerkah Faizal sebaik sahaja aku memasuki pintu bilik riadah. Adakah mereka semua nampak apa yang sedang berlaku sebentar tadi? Macam mana aku boleh tidak perasan yang aku sedang diperhatikan? Selalunya aku tahu sahaja setiap kali ada yang sedang memerhatikan aku. Naluri aku sentiasa tepat jika berkaitan ini. Agaknya, gadis ini telah mengganggu gugat kuasa dalaman aku. Eh, sempat pula aku berfantasi ketika sedang dihujani soalan.
“Tak ada la. Dia mai teguq aku tadi. Aku habaq la kata aku nak mai sini.”
“Tengkorak hang! Ingat kami tak dengaq?” Faizal cuba berloghat Kedah. Kalau sudah kambing itu, kambinglah jua Faizal. Tidak adanya kambing dapat mengaum seperti harimau. Jikalau sudah orang Kuala Lumpur, tidak akan lari kemana loghat Kuala Lumpurmu itu. Membuatkan aku hendak tergelak sahaja. Namun, aku tahan juga ketawa itu dengan senyuman. Aku berlalu dan mengambil beberapa bahan bacaan yang terdapat di rak buku di bilik itu.
“Eleh, takleh nak jawab la tu. Aku dah cakap dah. Dia memang ada hati kat pompuan tu. Korang taknak percaya. Dari semalam lagi try nak tackle awek tu. Padahal tak dilayan pun.” Faizal memerliku disambut hilai tawa Zul, Hafizh, Muslim dan Fauzi. Apa kenalah dengan budak-budak ni. Salah ke aku nak menyukai seseorang? Bukan aku minta duit mereka sekali pun.
Mataku melilau mencari kerusi. Memang nak diajar jugak budak-budak ni. Aku mencapai kerusi yang terdekat selepas meletakkan buku di atas meja. Melihatkan aku yang sedang mencapai kerusi itu, bertempiaran mereka lari ke luar kelas. Kasihan Zul. Badannya yang tinggi lampai, membuatkan dia tidak nampak ada bucu meja di hapadannya. Pahanya telah berlanggar dengan bucu meja itu. Aku tahu dan faham bagaimana sengalnya jika bucu meja berlanggar dengan paha. Sengal dan ngilu. Sakit namun ingin ketawa. Padanlah muka.
Kerusi yang aku capai tadi, aku letakkan di meja tempat duduk. Memang aku sengaja berlakon bagaikan ingin mencampakkan kerusi ke arah mereka sedangkan aku sememangnya mahukan kerusi untuk aku duduk. Biarkan mereka lari bertempiaran. Apa salahnya bersenam buat sementara waktu sebelum bermulanya aktiviti nanti. Hati aku tercuit melihat gelagat mereka. Tahu pulak takut. Aku hanya tersenyum memandang ke arah buku yang aku ambil tadi. Hendak aku gelak, tapi aku tahan juga.
No comments:
Post a Comment