Bas yang akan menjemput semua peserta program anak angkat kini sudah tiba. Aku memerhatikan sekeliling untuk melihat kelibat budak perempuan itu, namun hampa. Aku juga perasan yang kereta Myvinya tiada di rumah Puan Maznah. Mungkin dia belum lagi sampai ke rumah Puan Maznah agaknya.
“Bas ni nak gerak pukul berapa ni? Aku dah la tak sabar dah nak balik ni.” Hafizh merungut di tepiku.
“Dia dah balik dah kot.” Usik Hafizh melihat gelagat aku itu. Ketara sangat agaknya gelagat aku mencari-cari kehadiran budak perempuan itu.
“Kalau aku tak mintak hari ni, sure aku tak kan dapat dah ni nombor telefon dia.” Aku hanya tersenyum membalas peril Hafizh.
“Japgi mintak la kat kawan-kawan dia ka. Apa la...” Balas Hafizh yang bosan dengan gelagat aku.
“Masalahnya aku tak tahu nama dia la!” aku merungut. Memang, sampai ke hari ini aku masih belum mengetahui siapa nama budak perempuan itu. Semoga hari ini aku dapat mengetahui siapa namanya dan mendapat nombor telefon bimbitnya.
“La... sembang kemain lagi, sampai ke hari ni tak tahu nama dia? Ceh!” Hafizh senyum sinis.
Malas aku hendak melayan karenah Hafizh, aku segera mengambil semua beg yang aku bawa sepanjang program ini lalu aku bawa ke dalam bas. Aku mengambil tempat yang di tengah-tengah sebelah kiri. Mp3 yang aku letakkan di sebelah kiri beg aku buka dan mendengarnya. Sambil berjalan keluar dari bas, aku melihat suasana di luar rumah Puan Maznah. Amat sayu dan pilu. Mungkin keluarga angkat tidak sanggup untuk melepaskan anak-anak angkat mereka ini. Aku turut merasakan perkara yang sama. Aku berjalan menghampiri Ayah dan Ibu.
“Ni, ibu nak bagi sikit hadiah kenang-kenangan dari ayah dan ibu sekeluarga.” Ibu menghulurkan sebuah kotak kepada aku, Hafizh dan Fauzi.
“Nanti kalau senang-senang, datang la melawat ayah dan ibu” Ibu berpesan dalam nada sebak. Aku mengerti ibu sedih untuk berpisah dengan kami. Ayah pulak hanya tersenyum tidak mampu mengucapkan kata-kata. Betullah kata orang, ketabahan seorang lelaki lebih tinggi. Walaupun sedih, sukar untuk melihat mereka menitiskan air mata. Namun tidak kurang juga bagi perempuan, mereka juga insan yang tabah.
“Insyaallah ibu.” Aku membalas pelawaan ibu itu.
Untuk datang ke Kampung Sungai Serdang itu, bukanlah jauh sangat. Namun kekangan masa yang membuatkan masalah untuk datang ke situ. Tambahan pulak, kami sekarang sedang berada di penggal akhir pengajian. Tidak lama lagi, peperiksaan akhir semester akan menjengah. Peperiksaan akhir ini memang igauan ngeri bagi pelajar-pelajar university. Sampaikan ada pelajar yang tidak tidur seharian semata-mata untuk mengulangkaji pelajaran.
“Nombor telefon ibu dan ayah dah ambil kan?” Ibu bertanya lagi.
“Ha ah, ibu. Nombor telefon kami, kami dah tulis, letakkan atas meja sebelum keluar tadi. Alamat pun kami dah letak sekali tadi. Senang-senang, ibu datanglah ke rumah nanti.” Aku membalas soalan ibu.
Walaupun baru hanya tiga hari bersama ayah dan ibu, aku sudah menganggap ibu seperti mama dan ayah seperti ayahku sendiri. Kasih sayang yang ditunjukkan mereka selama tiga hari itu tidak tumpah seperti kasih sayang mama dan ayah. Kerinduan aku kepada ayah yang telah lama pergi, bagaikan terubat dengan layanan yang ayah angkat ku ini berikan. Sebak juga aku rasakan untuk berpisah dengan keluarga Encik Ismun ini. Tidak dapat aku pastikan sama ada apa yang aku rasakan ini turut dirasakan oleh Hafizh dan Fauzi kerana jelas di raut wajah mereka terpancar kegembiraan kerana program ini telah sampai ke penghujungnya. Mungkin kegembiraan itu hanyalah suatu paksaan demi menutup perasaan sedih mereka.
Para peserta program bersalam-salaman dengan keluarga angkat masing-masing. Ada yang berpeluk-pelukan dalam kehibaan. Ada juga yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenang-kenangan buat kali terakhir mereka bersama keluarga angkat. Aku hanya memerhatikan gelagat mereka.
“Mana pergi budak perempuan ini?” hatiku berbisik. Mataku pula meliar mencari-cari kelibatnya. Aku sedar, jika aku tidak sempat untuk meminta nombor telefonnya pada kali ini, aku sudah tidak ada peluang lagi. Apatah lagi, aku tidak mengetahui namanya.
“Mungkin sudah tiada peluang agaknya. Mungkin dia dah balik lebih awal memandangkan dia ada kereta sendiri.” Getus hatiku hampa.
Aku mengambil kotak yang diberikan ibu. Kotak yang aku dapat berwarna coklat. Cantik. Hafizh dan Fauzi masing-masing mendapat kotak berwarna biru dan hitam. Entah di mana ibu membeli kotak itu. Aku pasti ada sesuatu dalam kotak itu. Tak mengapalah, biarlah ianya menjadi kejutan ketika aku sampai di kolej nanti. Aku membawa kotak itu ke dalam bas di mana tempat aku meletakkan beg-beg tadi. Aku duduk seketika di dalam bas memandang keluar. Masih ramai yang belum menaiki bas. Hafizh dan Fauzi masih berada bersama Ayah dan Ibu.
Segerombolan kereta memasuki rumah Puan Maznah. Setelah memarkirkan kereta, pemandu dan penumpang keluar. Rupanya masih ramai lagi yang belum pulang. Cuma terlewat. Biasalah bagi orang-orang Melayu untuk lewat di dalam temu janji. Entah bila agaknya mereka akan berubah untuk menepati masa.
Sedang aku mengomel di dalam hati, kelibat gadis yang aku tunggu muncul di kalangan orang-orang yang lambat itu.
“Eh, baru sekarang dia nak muncul? Tak tahu ke aku dah lama menunggu?” aku berbisik kecil. Lantas aku bangun dan berjalan turun dari bas. Berblaus merah jambu, bertudung hitam berlabuci dan berseluar jeans. Cantik pakaian kasual yang dipilihnya itu. Amat sesuai dengan dirinya.
“Pandai juga dia bergaya.” Hatiku memuji penampilan dirinya. Dia nampak agak sibuk bersama dengan keluarga angkatnya.
“Patutkah aku menghampiri dia dan bertanya sekarang?” hatiku berbelah bahagi melihat kesibukan dirinya melayan keluarga angkat. Tambahan pula perasaan malu yang ada dalam diri bagaikan menghalang aku untuk menghampirinya. Setapak demi setapak aku melangkah pergi walaupun hati mengatakan tidak. Bagaikan semuanya berlaku di luar kawalan.
“Jika tidak dicuba, bagaimana aku mahu tahu siapa namanya?” mindaku cuba berbisik memberikan kata-kata semangat.
“Edrina! Edrina!” satu suara dari jauh di sebelah kiriku memanggil-manggil seseorang dengan nama ‘Edrina’.
“Edrina? Sedap nama itu, siapakah gerangan empunya?” aku memalingkan muka ke arah suara yang memanggil nama ‘Edrina’ itu. Kelihatan seorang lagi gadis yang aku percaya dari semester kelima kerana aku kenal benar siapa budak semester ketiga yang sama dengan aku walaupun berlainan kursus. Dia kelihatan melambai-lambai ke arah hadapan aku.
“Kepada siapa? Gadis itukah?” aku memalingkan muka ke arah gadis di hadapan aku itu. Ternyata lambaian dari gadis tadi dibalas olehnya. Rupanya, Edrina namanya. Sedap namanya, sesuai dengan perwatakannya. Jarak antara aku dengan dia tidak sampai lima meter. Apakah yang patut aku lakukan.
Perasaan malu amat menebal. Tambahan pula, aku bukanlah yang jenis memulakan. Dalam masa yang sama, hasrat untuk berkawan dengannya juga menggunung tinggi.
“Apakah yang harus aku lakukan?” Soalan yang sama melintas lagi. Jikalau orang lain mengajukan aku dengan soalan yang sama berulang-ulang kali, maunya aku bagi penampar je dekat muka. Biar melekat lambang body glovenya. Namun, patutkah aku lakukan benda yang sama kepada aku? Barulah padan dengan muka aku ini yang penakut sangat.
“Kau balik dengan siapa? Aku nak tumpang boleh?” Soal gadis yang memanggil Edrina sebentar tadi sebaik sahaja dia menghampiri Edrina.
“Aku balik dengan Ira dan Fatin. Kau nak tumpang ke Murni? Ada lagi kosong tu.” Edrina menjawab soalan gadis tadi. Sempat dia mengerling ke arah aku. Mungkin dia perasan yang aku datang kearahnya. Namun aku hentikan langkahku ketika masih lagi lima meter darinya. Aku cuba senyum. Namun tiada berbalas, bahkan dia melangkah pergi kepada kawan-kawannya yang lain.
Aku ingat, jikalau dia membalas senyuman aku, aku bercadang hendak berbual dengannya sebentar dan meminta nombor telefon dia. Nampak gayanya, teknik yang aku gunakan tidak berkesan. Edrina pula melangkah pergi dari aku. Pada waktu ini pula terngiang-ngiang lagu Aku Hanya Serangga dari Bumi Putera Rockers. Aduh... Bagaikan mengerti keadaan aku ketika itu pula. Memang aku tidak dapat melupakan Edrina.
Kebanyakan peserta yang menaiki bas datang ke Kampung Sungai Serdang sudah naik ke dalam bas. Hanya aku dan beberapa orang lain yang belum naik. Hafizh dan Fauzi juga telah naik agaknya kerana kelibat mereka di hadapan rumah Puan Maznah tidak kelihatan.
Aku melangkah pergi kepada Ayah dan Ibu.
“Ibu, ayah, terima kasih menjaga kami tiga hari kami di sini.” Aku mengucapkan terima kasih sambil bersalaman dengan Ayah dan Ibu. Ibu masih lagi tidak dapat menahan sebak untuk melepaskan kami pulang. Air jernih tampak mengalir dipipinya. Aku juga rasakan kesedihan yang sama seperti ibu.
“Jaga diri ya. Nanti senang-senang datanglah berjumpa dengan kami.” Ayah pula berbisik kepada aku sambil memeluk aku. Sudah lama aku tidak dipeluk sebegini oleh seorang lelaki bergelak Ayah. Kehangatan yang aku rasakan dari badan ayah menenangkan jiwa. Terasa disayangi untuk sementara waktu. Terima kasih ayah...
Aku melangkah masuk ke dalam bas. Perasaan sebak menyelubungi diri. Terasa bagaikan kehilangan sesuatu yang aku impikan. Sedang memasuki bas, aku lihat Hafizh sudah mengambil tempat di sebelah tempat aku letakkan beg-beg aku. Sudah tahu rupanya dia dengan tempat yang aku ambil.
Langkahku longlai berjalan ke tempat duduk. Aku mengambil tempat di sebelah tingkap untuk melihat keluar. Edrina kelihatan gembira meluangkan saat-saat terakhir bersama dengan keluarga angkatnya. Mungkin aku hanyalah teman berbualnya sepanjang program ini. Aku pula yang terlebih ingin mengenalinya. Masakan tidak, sikap yang ditunjukkannya sama seperti Najwa.
Adakah aku hanya ditakdirkan untuk bertemunya buat seketika sahaja? Mungkin dia hanyalah sebuah ujian untuk aku mengingati Najwa. Jikalau aku ditakdirkan bertemu dngannya lagi, mungkin akan ada lagi peluang untuk aku mengenalinya. Selamat tinggal Kampung Sungai Serdang. Selamat tinggal Ayah dan Ibu. Selamat tinggal Edrina.
No comments:
Post a Comment