‘Cinta tak mengenal usia kan akak?’
Mesej ringkas itu aku hantarkan kepada Najwa. Ternyata setiap kali berjumpa dengannya di kolejnya di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang telah mengubah perasaan sayang dari seorang adik kepada kakak kepada perasaan cintakan dia sebagai kekasih.
‘Tak. As long as saling mempercayai, dan saling memahami, masing-masing akan bahagia. Nape Mar tanya akak macam ni?’
Aduh, soalan cepu emas pula diajukan oleh Najwa. “Takkan kau tak tahu yang aku sudah jatuh hati kepada mu?”
‘Tak ada apa la. Akak balik hujung minggu ni kan? Balik hati-hati ye. Drive elok-elok. Dah sampai ke stesen kereta api nanti bagitau ye.’
Sudah banyak kali aku ajak dia berjumpa Jumaat malam nanti memandangkan dia hendak balik ke Tanjung Malim malam itu. Namun, katanya aku tidak akan sempat berjumpa dengannya lama memandangkan kelas gantinya pada malam itu habis lewat. Selepas habis dia akan bergegas pulang ke rumah. Aku hanya risaukannya tidak sempat menyediakan makanan untuk dirinya sendiri pada malam itu. Aku bercadang untuk menghantarkan makanan kepada dia pada malam itu.
‘Aye aye captain!!’
Begitulah Najwa. Mesej-mesej yang dihantarnya pasti akan menceriakan aku. Aku terkenangkan kembali masa-masa yang aku luangkan bersamanya beberapa bulan yang lepas. Banyak benda yang kami bualkan dan kongsikan. Banyak tempat di Pulau Pinang yang kami habiskan sepanjang pertemuan itu. Antara perkara yang menyedihkan yang dikongsikan Najwa dan aku adalah bagaimana bekas teman lelakinya memutuskan perhubungan dengan dirinya.
Setahu aku, bekas teman lelakinya bernama Amir. Hampir sama pula nama dia dengan nama aku. Namun, sedap lagi Amar.
Mengikut Najwa, Amir meninggalkan dia ketika dia sedang menghadapi peperiksaan akhir semester. Hancur luluh hati Najwa apabila perkara itu berlaku. Hal itu membuatkan dia hilang semangat. Ini kerana Amir merupakan cinta pertamanya. Mereka begitu rapat sehingga Amir telah memanggil mama Najwa dengan mama. Perpisahan itu juga telah membuatkan mama Najwa terpaksa datang bermalam ni rumah sewanya di Pulau Pinang. Mamanya takut jika Najwa melakukan sesuatu yang tidak diingini. Tambahan pula Najwa mudah putus semangat. Kesan daripada perpisahan itu mengakibatkan bantal tidurnya sentiasa basah di waktu malam. Mungkin Najwa menganggap Amir adalah cinta sejati. Disebabkan itulah dia tidak dapat menerima hakikat apabila Amir meminta putus.
Cemburu juga aku kali pertama mendengar cerita tentang kisah cinta Najwa. Betapa ruginya Amir melepaskan dia. Najwa bukanlah calang-calang perempuan. Bijak dan cantik merupakan pakej lengkap yang ada pada dirinya. Didikan agama yang dimilikinya bukanlah calang-calang. Gadis cantik molek ini merupakan vokalis kumpulan nasyid di sekolah menengah dahulu. Segala pakej kecantikan yang dimiliki oleh Fasha Sandha, semuanya dimiliki oleh Najwa. Hanya membezakan Najwa dan Fasah Sandha ialah Najwa bertudung. Apakah yang masih kurang di mata Amir sehingga sanggup untuk meninggalkan gadis yang serba lengkap ini? Dimanakah salah dan silap Najwa hingga dilukakan sebegitu oleh Amir?
Selain bercerita tentang hubungan dia dan Amir, dia juga banyak bercerita tentang walid. Walid adalah lelaki yang hadir dalam hidupnya menggantikan abahnya yang pergi meninggalkan dia ketika umurnya 10 tahun. Abahnya menghidap penyakit kanser usus. Sudah lama penyakit itu dihidapi abahnya, namun apakan daya, mereka hanya menyedari hal itu ketika sudah di peringkat ke empat. Menurut Najwa juga, abahnya dan walid adalah kawan karib dan abah pernah berpesan kepada mama Najwa, jikalau mama inginnya kahwin sekali lagi, dia perlu cari yang lebih baik dari abahnya. Disebabkan itulah mama Najwa menerima pinangan walid sebagai pengganti kepada abah Najwa.
Najwa juga bercerita bahawa ketika abahnya terlantas sakit, walid bagaikan senantiasa cucuk jarum memikat mama. Hampir tergelak besar kami apabila dia berceritakan tentang itu. Ketika itu kami dalam perjalanan ke Restoran Pizza Hut di Plaza Perangin Mall. Itu adalah antara temujanji yang biasa kami lakukan ketika cuti hujung minggu. Jika tidak pergi melepak di Batu Feringghi menikmati keindahan pantai, kami pergi makan-makan di mana-mana restoran. Namun beberapa minggu ini aku dan dia jarang keluar kerana masing-masing sibuk dengan peperiksaan akhir semester. Aku pula sibuk dengan persediaan projek lawatan ke Petronas Fertilizer Gurun bagi subjek ‘Chemical Reaction’. Najwa sudah berada di semester akhir, aku pula masih berbaki satu lagi semester di UiTM Pulau Pinang.
Pernah ketika kami sedang keluar berjalan-jalan di tepi pantai, Najwa terlihat sekumpulan kanak-kanak kecil dalam lingkungan 4 ke 5 tahun sedang bermain kejar-kejaran. Melihat mereka sedang bermain, Najwa mengajak aku untuk bermain bersama. Aku hanya menolak kerana aku tidak mahu pakaian aku basah memandangkan aku menaiki kereta dia. Takut pula nanti keretanya kotor. Najwa pula tidak peduli dengan semua itu. Dia tetap mahu bermain dengan kanak-kanak kecil itu. Aku tersenyum riang melihat gelagatnya berkejar-kejaran bersama kanak-kanak itu. Beberapa kali dia terjatuh dan terpalit pasir di pakaian dan mukanya. Najwa memang begini. Sanggup mengorbankan dirinya demi untuk menggembirakan kanak-kanak.
Kehadiran Najwa dalam hidupku beberapa bulan kebelakangan ini amat menggembirakan. Mungkin dia adalah pasangan yang aku cari selama ini. Dia telah mengubah hidup aku untuk menjadi lebih bermakna. Mungkin dia adalah pilihanku yang betul. Aku patut memulakan langkah pertama.
“Apa yang aku nak belikan pada dia ye sebagai bekalan makanan malam ni?” Aku masih tercari-cari makanan apa yang sesuai untuk aku belikan kepadanya. Dalam pukul 9 malam nanti, aku perlu bertolak ke rumah sewanya untuk menghantar makanan. Najwa pula masih tidak tahu perancangan aku ini. Sudah beberapa kali dia meminta aku untuk berjanji yang aku tidak akan menghantarnya ke stesen kereta api nanti memandangkan dia tidak mahu aku datang sia-sia ke sana. Aku hanya mengiyakan apa yang dia mahu, padahal, memang aku tetap jugak ingin berjumpa dengannya. Aku mahu luahkan segala yang terbuku di hati.
Sedang berjalan-jalan di Jusco Bukit Mertajam itu, aku ternampak gerai Dunkin Donut. Najwa memang sukakan Dunkin Donut. Terbalik dengan aku. Aku pula sukakan Big Apple kerana donut yang Dunkin Donut buatkan agak keras sedikit berbanding Big Apple. Itulah manusia ciptaan Allah SWT. Senantiasa ada perbezaan walaupun mereka dari golongan manusia manusia. Indahnya ciptaan-Nya. Subhanallah...
“Kalau tak silap, dia suka yang ni. Takpela, aku ambil dua la yang ni. Bagi yang ini dua ye.” Aku menunjukkan ke arah donut yang di salut dengan kacang badam kepada pelayan yang mengambil pesanan aku sambil menunjukkan isyarat dua. Aku meminta kotak yang memuatkan enam donut. Kesemuanya aku pilih yang tidak ada coklat memandangkan Najwa tidak sukakan coklat.
Aku melihat jam di telefon bimbitku sudah menujukkan pukul 8.45malam. Aku patut bergegas sekarang. Kelas Najwa akan tamat dalam pukul 10 malam. Tambahan pula waktu sekarang, jalan raya agak sesak melalui berita di radio. Katanya terdapat kemalangan di atas jambatan menghala masuk ke pulau. Aku perlu mengambil alternatif lain, iaitu feri. Tapi, perjalanan menaiki feri agak lambat dan terminal feri juga agak jauh dari USM. Sebab itulah aku perlu bergerak cepat. Jika diikutkan, melalui jambatan, aku hanya perlukan 30 minit sahaja untuk sampai ke rumah sewanya yang berdekatan dengan USM itu. Aku segera membayar harga donut yang aku beli dan bergegas ke motor aku. Donut itu aku masukkan ke dalam bag tangki dan mula memakai helmet fullface aku.
Jam di telefon bimbit sudah menujukkan pukul 10 malam. Aku masih lagi belum melihat kelibat Najwa di keretanya. Sengaja aku memarkirkan motorku di belakang keretanya demi menghalang agar dia terus pulang sebelum berjumpa denganku. Sambil menunggu Najwa di One Stop Corner yang terletak di bawah rumah sewanya itu, aku menghirup segelas cuppucino bagi menghilangkan mengantuk akibat penat seharian. Aku menghirup lagi sehinggalah,
“Hoi cik abang!! Kan orang dah cakap jangan datang!!” Satu suara menyergah dari belakang sambil mencubit belakang aku. Adeh, menggeliat juga aku dibuatnya, cubitannya memang memedihkan.
“Awww!!” aku mengerang kesakitan.
“Akak dah lewat ni. Akak dah cakap kan jangan datang, kenapa datang? Tengok, jumpa pun tak sempat dah.” Rajuk Najwa apabila melihat aku tidak menepati janji aku.
“Takde la, Mar datang just nak hantar makanan ni je, sure akak tak sempat masak sebagai bekalan.” Aku memberikan bungkusan donut yang aku beli tadi.
“Terima kasih. Tapi akak memang dah lewat ni. Akak pegi dulu tau.” Balas Najwa selepas menyambut bungkusan dari tangan aku. Dia segera berjalan ke arah keretanya. Aku pula mengubah motorsikalku dari menghalang laluan keretanya. Selepas keluar dari petak parkir, Najwa memecut laju keretanya selepas melambaikan tangan kepadaku. Aku hanya melihat. Setelah dia hilang dari pandangan, aku mula memakai sarung tangan dan helmet.
Mencintai dirimu hingga akhir hayat bersama kamu~~
Tiba-tiba nada dering telefon aku berbunyi. Aku tahu itu panggilan dari Najwa kerana lagu itu memang aku setkan untuknya.
“Mar, cepat ikut akak.” Najwa terus meletakkan telefonnya setelah menyuruh aku mengikutnya. Aku segera menghidupkan enjin motorsikal dan memecut mengejar Najwa. Kenapa suara dia seperti cemas? Ada sesuatu yang telah berlaku ke?
Setibanya kami di stesen kereta api Butterworth, aku mematikan enjin motorsikal di hadapan lobi stesen kereta api. “Untuk seketika, tak kena saman kot parking kat sini.” Aku berbisik menenangkan diri.
Najwa sedang mengeluarkan beg galasnya dari bahagian belakang kereta. “Apalah yang dia bawak dalam beg galasnya itu. Untuk pulang selama 4 hari, tak kan itu aja?” aku kehairanan melihat beg yang dibawa Najwa begitu kecil. Mungkin di rumahnya juga terdapat banyak pakaian lain.
‘Perhatian kepada semua penumpang, keretapi untuk ke Kuala Lumpur akan berlepas dalam 15 minit sahaja lagi.’
‘Attention to all passengers, train to Kuala Lumpur will be departed in 15 minutes.’
Pengumuman yang sama di ulang dalam Bahasa Inggeris. Mesti tidak sempat ini aku hendak berjumpa dengan Najwa buat seketika sebelum dia menaiki keretapi. Tambahan pula dia perlu mencari tempat duduk dia.
Najwa kelihatan berlari-lari anak ke arah aku. Dia memberikan isyarat untuk aku mengekorinya ke dalam kereta api. Aku hanya mengangguk perlahan. Nampak gayanya aku tidak sempat untuk bercakap dengannya berkenaan perasaan aku ini. Najwa terus berlari-lari anak mencari-cari gerabak tempat duduknya. Apabila berjumpa, dia memasuki gerabak itu dan mencari tempat duduknya pula. Aku hanya memerhatikan dari luar. Tapi apa yang aku lihat, tempat duduknya itu diduduki oleh lelaki lain. Lama juga dia berdiri di sisi lelaki itu. Rasanya mungkin dia memarahi lelaki tersebut. Bukan boleh sangat Najwa ini, kalau orang ambil tempatnya. Cukup pantang.
Aku mengeluarkan MP3 yang aku simpan di poket seluar lalu memasangnya. Najwa masih lagi bergaduh dengan lelaki itu. Nampak kelibat lelaki itu bangun mengambil begnya dan beredar. Baru dia tahu siapa Najwa. Najwa mula meletakkan beg di tempat duduknya itu. Setelah mengemaskan tempat duduknya, Najwa memandang ke luar ke arah aku. Dia melambaikan tangan ke arah aku dan aku hanya membalas lambaiannya longlai. Dia mengeluarkan telefon bimbit dan menekan sesuatu. Aku hanya memerhatikannya. Kereta api mula bergerak perlahan-lahan sehinggalah gerabak Najwa hilang daripada pandangan aku.
“Tit! Tit!” Aku mengeluarkan telefon bimbit. Najwa yang menghantar mesej kepada aku.
‘Akak minta maaf Mar sebab tak sempat jumpa Mar tadi. Mar balik hati-hati ye. Thanks tau sebab Mar dah susah2kan diri Mar hantar makanan pada akak. Thanks sangat. Nanti Mar dah sampai rumah, kita sembang ye.’
Aku menutup kembali telefon bimbitku. Tidak membalas mesejnya itu. Mungkin Najwa belum melihat apa yang aku letakkan di dalam bungkusan makanan itu. Aku berjalan menghampiri motorsikal ku. Aku hidupkan dan mula bergerak meninggalkan Stesen Keretapi Butterworth untuk pulang ke Sungai Petani.
Dalam perjalanan pulang, aku terasa telefon bimbitku bergetar. Namun tidak aku hentikan memandangkan getaran menandakan mesej yang masuk. Aku tahu, mesti Najwa yang menghantarnya. Mesti dia sudah membaca apa yang aku tuliskan di dalam nota hijau yang aku masukkan ke dalam bungkusan Dunkin Donut itu.
‘Akak, Mar janji Mar tak hantar akak balik, so Mar tak buat kan? Mar just nak bagi makanan ni pada akak. Sebab Mar tahu yang akak takkan sempat nak siapkan makanan akak. Mar datang jugak sebab Mar risau. Mar takut Mar terlambat. Mar nak tahu, siapakah yang masih bertakhta di hati akak. Adakah akak masih mengharapkan Amir?’
Aku mengingati bait-bait yang aku tuliskan di dalam nota itu. Aku hanya tersenyum memecut laju ke Sungai Petani.
happy bsday H :) semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki selalu.
ReplyDelete