Wednesday, September 21, 2011

Perkongsian: Anak tak berguna, salah siapa? Anaknya atau didikan ibu bapanya?

Tajuknya agak kritikal. Memandangkan sekarang sedang berlansungnya pengajian bagi institusi pengajian tinggi awam, sambungan kepada novel dihentikan bagi memberikan laluan kepada penulis untuk beristirehat dan menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian. Bukan senang nak jadi jurutera ni.

Baik, kembali semula kepada tajuk asal. Ibu bapa sering celaru memikirkan sikap dan perangai anak-anak mereka yang kononnya tidak berguna. Mengapa perlu difikirkan benda yang sudah terjadi? Kenapa tidak difikirkan kenapa berlakunya semua itu?


Itulah antara salah silap ibu bapa dalam mengatasi masalah ini. Sepatutnya yang difikirkan adalah puncanya. Jika tidak diketahui punca, bagaimana hendak melakukan penyelesaian? Mungkin artikel kali ini agak panjang membincangkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anaknya yang kononnya bermasalah


Anak mana yang inginkan derhaka kepada ibu bapanya jika dia mendapat layanan baik dari mereka? Anak mana yang tidak ingin berbakti kepada ibu bapanya jika mereka memberikan didikan yang betul kepada anak itu?

Memang ada antaranya disebabkan pengaruh rakan-rakannya. Namun, sebelum menuding jari kepada rakan-rakan anak-anak kita, sedarkah kita betapa banyak masa yang kita luangkan bersama anak-anak kita? Jika masa yang kita luangkan bersama anak-anak lebih banyak daripada masa yang mereka luangkan bersama sahabat handai, masakan mereka boleh terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya? Ini tidak, ibu bapa lebih banyak meluangkan masa untuk mencari rezeki. Tambah memangkinkan anak-anak untuk bermasalah ialah apabila ibu bapa sendiri tidak berusaha mengambil tahu apa yang dilalui anak-anak seharian tanpa pengawasan mereka.

Lebih teruk apabila ada ibu bapa yang berperangai buruk. Penuh dengan hasad dengki dan sangsi terhadap anak-anak. Pepatah melayu mengatakan, "ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi", bermaksud, kemana perginya perangai ibu bapa kalau tidak kepada anak-anak. Jadi, boleh disimpulkan di sini, perangai anak-anak mungkin turun dari perangai ibu bapanya. Anak yang kaki perempuan, mungkin juga mengikut jejak langkah ayahnya yang juga seorang kaki perempuan. Anak yang tidak mendengar cakap, mungkin turun dari perangai buruk ibu bapanya yang juga tidak suka mendengar teguran dan nasihat daripada orang lain.


Ada ibu bapa yang cuba untuk menunjukkan betapa dia mengambil berat terhadap anaknya, namun caranya tidak berhikmah dan terpelajar. Sayangnya, tindakannya membuatkan si anak semakin jauh kepadanya. Tindakan memarahi anak-anak tanpa usul periksa bukanlah sesuatu yang baik. Jikalau marah adalah sesuatu yang baik, sudah lama Islam tertegak dengan marah. Namun, apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad?

Bertanyalah. Tidak rugi ibu bapa bertanya kepada anak-anak ke mana mereka pergi sehingga lewat malam tidak pulang. Mengapa mereka tidak dapat pulang awal. Mahalkah harga untuk bertanya dengan baik? Dan jika anak-anak sudah memberikan jawapan, selidiklah sebelum terus menuduh dia mereka-reka cerita untuk menyelamatkan diri. Jika betul dia menipu, marahlah. Namun, jika belum diselidiki, fitnah dan tohmahan sudah dilemparkan,sedar tidak sedar ibu bapa telah mendidik anak-anak untuk berburuk sangka.

Ingat, perangai yang buruk, janganlah diwarisi. Wariskan perangai-perangai yang baik. Dalam masa yang sama, perangai-perangai baik dapat mendidik anak-anak menjadi baik.

Antara kesalahan paling teruk dilakukan ibu bapa ialah memilih kasih. Didiklah anak-anak seadil-adilnya. Jangan biarkan mereka merasa tidak adil dengan apa yang dilakukan anda. Ada sesetengah ibu bapa menyayangi anaknya, katakan A, lebih daripada B. Namun, dia tidak sedar, yang A ini tidak pernah sesekali pun menolongnya dalam kerja-kerjanya. Sedangkan B inilah anaknya yang sentiasa menolongnya. Tidak kira apa jua keadaan yang dihadapi, B sentiasa ada di sisi. Dengan memilih kasih, adakah dia sedar bahawa dia sedang mengikis perasaan ingin membantu dari B?


Jangan burukkan anak-anak kepada orang lain. Jika ini berlaku, ibu bapa bukan sahaja membuka pekung di dada, mereka juga turut menjatuhkan maruah anak-anak.

Insaflah wahai ibu bapa yang banyak mencari salah anak-anak sedangkan segalanya berpunca daripada anda. Lihatlah bagaimana anak-anak yang baik dididik. Ambillah contoh dari ibu bapa mereka.

Anak itu ibarat kain putih, yang mencorakkannya adalah ibu bapa. Jika di tunjukkannya hitam, maka hitamlah ia. Dan ingatlah, sekali ia hitam, amat sukar untuk diputihkan kembali.

No comments:

Post a Comment