Tuesday, August 30, 2011

Bab 18

“Oit. Dah sampai dah ni.” Jerit Hafizh kepadaku sebaik sahaja bas sampai di perkarangan UiTM. Mungkin Hafizh berfikir yang aku sedang tidur agaknya dengan menjerit sebegitu. Lamunan ku terhenti. Fikiranku yang merewang jauh memikirkan kenangan bersama Najwa kembali kea lam nyata.
Aku mula mengemas beg dan menyusun di tepi kerusi. Bas berhenti di tepi Fakulti Kejuruteraan Awam.  Semua pelajar yang menyertai program mula turun dari bas. Aku membiarkan mereka turun dahulu. Sambil itu, aku melihat keluar tingkap ke arah motorsikal aku yang aku tinggalkan di tempat parker motorsikal fakulti ini.
“Masih ada di situ lagi rupanya kamu ye. Kesian sayang, dah beberapa hari kita tak berjalan kan?” bisik hatiku taktala melihat motor aku itu.
Aku mula mengambil beg dan bergerak turun dari bas. Sudah tiga hari aku berada di Kampung Sungai Serdang. Amat berbeza sekali udara di Kampung Sungai Serdang dan udara di perkarangan UiTM. Suasana nyaman di sana amat sukar untuk di cari di kawasan metropolitan yang penuh sesak dengan kenderaan ini. Terasa rindu pula kepada Ayah dan Ibu.
‘Ayah, ibu. Kami dah sampai ni di UiTM. Rindunya pada Ayah dan Ibu.’
Aku terus menghantar mesej kepada Ayah dan Ibu sebaik sahaja aku tiba di motorsikal ku. Penatnya rasa kerana sepanjang program itu berlansung, kebanyakan kami tidak cukup rehat. Namun aku puas. Cuti hujung minggu aku terisi juga. Jika tidak, aku hanya banyak meluangkan masa di samping katil. Macam pasangan aku pula katil itu. Sampaikan Asram mengatakan katil itu isteri aku.
“Oit, report experiment dah siap ke belum?” Hafizh bertanyakan kepada aku sambil menghidupkan motorsikal Honda Wave 125Snya.
Aku tahu, jika sudah lama tidak dihidupkan, motor itu memang susah untuk dihidupkan. Terutamanya jika sudah lama tidak diservis. Aku pernah memilikinya dahulu. Namun paling aku sukakan tentang motor ini, ialah system penjimatan minyaknya. Memang amat menjimatkan berbanding motor moped lain. Selain itu, compartment simpanan barangan juga agak besar berbanding motor-motor lain. Tidak perlu rasanya untuk memasang kotak tambahan baharu.
“Yang mana?” aku membalas bersahaja. Sengaja aku tidak memandang ke arahnya kerana sibuk membetulkan beg yang diikat di tangki motor aku itu.
“Viscosity.” Aku mula berfikir sejenak. Agaknya yang experiment menggunakan minyak dan air sebagai medium untuk bebola bergerak ke bawah. Dari situ, pengiraan boleh di buat untuk mengira kelikatan atau nama saintifiknya viscosity sesuatu cecair.
“Aku rasa dah siap kot. Tak ingat dah buat ka belum.” Aku menggaru kepala taktala melihat ke arah Hafizh.
“Eh, bukan group korang ni buat awal-awal sekali ka?” Hafizh terpinga-pinga.
“Ha ah la... ada kot soft copy. Awat? Nak tiru ka?” Aku mula memakai helmet fullfaceku. Helmet ini dahulunya aku tinggalkan di rumah Muslim. Aku kirimkan melalui Irsyaduddin, pelajar Fakulti Kesenian. Dahulunya merupakan pelajar Kejuruteraan Kimia di Pulau Pinang. Sama-sama denganku di dalam kelas yang sama. Dia juga merupakan kawan rapat kepada Nazarni. Nazarni pula sekarang sedang menyambungkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bioteknologi di Universiti Malaysia Pahang.
“Takde la. Nak tengok contoh. Hehehehe...” Hafizh tersengih sumbing.
Aku dah agak dah. Tengok contohlah sangat. Semua pelajar memang sebegitu sekarang. Plagiarisme banyak berlaku di university sekarang. Jika hendak dikatakan mereka sahaja melakukan, amatlah tidak adil. Aku juga melakukan benda sama. Namun bukanlah semua, hanya beberapa bahagian di dalam laporan eksperimen. Antaranya ialah bahagian objective dan juga bahagian prosedur. Hal ini kerana kedua-dua bahagian ini adalah bahagian yang sememang akan sama jika melakukan experiment yang sama.
“Ya la tu. Sat lagi aku balik aku emel.”
Hafizh masih lagi mencuba menghidupkan motosikal Wavenya. Aku pula menghidupkan CBR untuk memanaskan enjin. Deruman enjin four-in-line bergema. Aku memulas-mulas sedikit pendikit untuk mengeluarkan wap-wap air di dalam ekzos. Kelihatan wap-wap air mula keluar bagaikan asap yang tidak berwarna.
“Tengok, sekali tekan starter ja dah hidup. Tukaq la wei. Dah boleh buat tukun tu motor hang tu.” Aku ketawa melihat Hafizh yang masih lagi cuba menghidupkan motorsikalnya.
“Oi, dah la bunyi motor tu kuat!! Sikit-sikit dah la!!! Pekak satu Shah Alam oi!!!” Terdengar suara Faizal dari jauh menjerit. Aku mencari-cari dari mana arahnya suara dia. Hafizh hanya ketawa di sebelahku. Motornya pula sudah boleh dihidupkan.
“La... tak balik lagi rupanya malaun ni.” Aku berbisik dalam hati apabila melihat dia sedang mentertawakan aku di atas motosikalnya di hujung tempat letak motosikal berhampiran dengan jalan. Zul yang membonceng dibelakangnya turut sama ketawa. Aku memulaskan lagi sedikit pendikit. Deruman makin kuat dan aku lepaskan pendikit. Mereka hanya ketawa. Aku juga, namun hanya seketika kerana pandanganku mula terarah ke jalan apabila sebuah kereta Myvi berwarna kelabu berhenti di perhentian bas di hadapan tempat letak motorsikal.
“Edrina.” Terlintas nama itu difikiranku taktala melihat pemandu kereta Myvi itu. Memang jelas itu Edrina kerana aku masih cam pakaian yang dipakainya sebelum bertolak pulang dari Kampung Sungai Serdang tadi. Bertudung hitam dan berblaus merah jambu.
Aku hanya melihat kearahnya. Dia keluar dari kereta tanpa lansung melihat ke arah aku, berjalan ke beberapa gadis yang berada di perhentian bas. Sambil aku hanya memerhatikannya, aku mula mengubah motosikalku lalu menaikinya.
“Patutkah aku pergi meminta nombor telefonnya sekarang?” Hatiku berbelah bagi.
“Weh, budak yang ko minat tu.” Hafizh mencuit bahu aku.
“So?” aku sahaja membalas sebegitu bagaikan tak mengerti.
“Takde la, ko kan minat kat dia. Pergi la tegur.”
“Tak ada maknanya aku nak tegur. Baik aku balik tidur.” Macam berpantun pula aku menjawab kepada Hafizh. Kalau masuk pertandingan pantun dua kerat, wajib menang aku ini kerana boleh membalas Hafizh dengan spontan tanpa berfikir untuk menyusun ayat dahulu.
“Eleh, berlagak tak berminat konon. Macam la aku tak tahu.” Hafizh bagaikan memerli.
Lantaklah. Aku segera memulas pendikit dan CBR mula bergerak dari perkarangan parkir motorsikal. Sambil bergerak pergi, aku mencuri-curi melihat lagi ke arah Edrina. Tanpaku sedari, terdapat satu lopak kecil di hadapanku. Tayar depan CBR terus meredah lopak itu dan handle CBR menjadi tidak tentu arah. Aku menarik brek hadapan. Mujurlah waktu itu kelajuan motor kurang dari 10 kmj. Motor dapat diberhentikan. Malangnya, motor berada dalam keadaan senget sangat.
“Allah! Allah! Allah!” Aku menjerit taktala motor mula ingin tumbang. Dan akhirnya, KELEPEK!!! CBR tumbang.
Aku bingkas bangun dari jatuh dan cuba mengangkat CBR. Aku tahu, ada beberapa orang yang sedang mentertawakan aku.
“Memang nak mampus agaknya diorang ni.” Aku berbisik di dalam hati.
“Itu la!!! Lain kali tengok jalan, bukan tengok perempuan!!!” Jerit Faizal yang masih berada di bawah parkir motosikal.
Aku segera menghidupkan CBR sekali lagi dan bergegas pergi. Tidak lagi memandang ke arah Edrina. Tidak pula dapat aku pastikan sama ada Edrina melihat kejadian tadi atau pun tidak. Kalaulah dia melihat kejadian tadi dan tahu yang aku jatuh kerana melihatnya, pasti setiap masa aku ke kelas terpaksa memakai helmet fullface ini.
“La... Apa aku nak takutkan? Kan ke sekarang ni aku pakai fullface? Dia bukan nampak pun.” Aku berbisik dari dalam hati lalu tersenyum. Aku mula memecut keluar dari perkarangan UiTM untuk ke Kolej Jati.

No comments:

Post a Comment