Monday, December 27, 2010

Perkongsian: Facebook 2

Baru-baru ni aku saja je post kat wall fb bertanyakan kenapa ada akaun fb, baru ada 2 responden. tapi rasanya kenapa FB selalu dikaitkan dengan kes kecurangan adalah sebab ini, sebab rahsia yang sudah lama terpendam.



Source: Blogserius

semoga semakin ramai yang sedar tentang penubuhan facebook ini.

Sunday, December 26, 2010

Perkongsian: Boring di dalam perhubungan. Part 2

Sebelum melihat kepada penyelesaian, kita perlu untuk mengetahui bagaimana gejala bosan di dalam perhubungan ini terjadi. Tanpa mengetahui punca-punca kepada sesuatu itu terjadi, bagaimanakah kita mahu mencegahnya? Sedangkan mencegah itu lebih baik daripada mengubati penyakit yang telah pun menular.

Wednesday, December 22, 2010

Perkongsian: Boring di dalam perhubungan. Part 1


Masalah boring di dalam perhubungan bukanlah suatu yang pelik. Ia sememangnya berlaku taktala perhubungan itu sudah mencapai kepada kemuncaknya. Namun, jika dibiarkan ianya lebih melarat, mungkin akan memudharatkan perhubungan itu.

Bab 12

“Diorang tengah buat apa ni?” Aku mengajukan soalan aku taktakla menghampiri gadis tersebut yang sedang sibuk melayan budak-budak sekolah itu. Bukan aku tidak tahu apa yang mereka sedang lakukan. Tetapi sahaja aku mengajukan soalan itu, berpura-pura tidak tahu. Kamera yang ada aku gunakan untuk berlakon seperti sedang mengambil gambar mereka melakukan aktiviti. Sedangkan kebanyakan gambar aku fokuskan kepadanya. Teruk benar lakonan aku ini.

Friday, December 17, 2010

Bab11

Jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam. Aktiviti mengacau dodol pada malam ini akan bermula pada pukul 9 malam. Menurut ayah, aktiviti mengacau dodol sebegini selalu dianjurkan tiap-tiap tahun dan ramai penduduk kampong akan menyertai aktiviti ini dan pertandingan dodol dengan hiasan tercantik dan tersedap akan diadakan. Ayah juga akan turut serta dalam pertandingin ini pada malam ini. Selepas ayah dan ibu bersiap, kami bertolak pergi ke sana dengan menaiki dua buah kereta. Ayah memandu Myvinya dan kami pula menaiki Wiranya. Awalnya, kami bercadang ingin menaiki sebuah sahaja, tapi ayah dapat merasakan yang kami mungkin akan pulang lewat kerana ada aktiviti lain, jadi, ayah menyuruh kami membawa kereta Wiranya itu.

Suasana di hadapan rumah Puan Maznah agak riuh rendah. Beberapa buah lori dilihat terparkir di depan halaman rumahnya dan kebanyakan pemuda yang berada di situ, sedang bergotong-royong mengangkat turun kawah dari atas lori. Amat berdedikasi sekali. Aku menjadi kagum dengan mereka. Lebih kurang lapan buah kawah akan digunakan pada malam ini. Ini bermakna, lapan kumpulan akan bertanding pada malam ini. Aku, Hafizh dan Fauzi sudah tentu akan menyertai kumpulan ayah dan ibu.

Terdapat juga beberapa wanita yang aku lihat memakai pakaian sedondon berwarna merah jambu.

“Yang pakai baju merah jambu tu sapa, ibu?” Aku menyuarakan kemusykilan aku kepada ibu.

“Oh, itu Puteri UMNO. Puteri UMNO dekat sini memang suka beraktiviti. Dioranglah yang selalu menganjurkan apa sebarang aktiviti di kampong ni.” Ibu memberikan penerangan sambil menyediakan tepung beras untuk dibancuh.

Aku dan Hafizh hanya membantu ibu memotong plastic bungkusan tepung sahaja. Fauzi pula aku lihat sedang menolong ayah dan ahli kumpulan ayah menyediakan bata untuk digunakan untuk mendirikan kawan. Aku bukanlah pandai sangat dalam membuat dodol ini. Proses hendak membuatnya pun aku tidak tahu. Tidak pernah seumur hidup aku melihat orang mengacau dodol. Pada malam ini, rekod aku selama 21 tahun tidak melihat orang mengacau dodol secara lansung akan terhapus. Selama 21 tahun ini, aku hanya melihat orang mengacau dodol di dalam majalah Ujang sahaja. Itupun adalah lukisan kartun. Jika tidak, sampai ke mati aku ingat dodol dibuat dengan menggorengnya seperti masakan lain.

Suasana di rumah Puan Maznah agak riuh rendah dengan kehadiran penduduk kampong yang ingin menyertai pertandingan ini. Ada juga yang datang hanya untuk melihat. Golongan berumur pula sibuk bersembang sementara menunggu proses memasak dodol bermula. Sesekali terdengar suara ketawa mereka bergema. Itu sudah menjadi kebiasaan orang berumur apabila bergurau senda. Kadang-kadang, apa yang mereka guraukan juga turut mencuit hatiku. Jenaka mereka bukanlah jenaka biasa. Jenaka mereka terselit seribu satu pengajaran buat golongan remaja.

“Kalau nak lagi sedap, kita tak gunakan dapur gas, kita gunakan dapur kayu.” Ayah memberikan sedikit penerangan kepada Fauzi. Namun aku mencuri-curi dengar apa yang ayah katakan kepada Fauzi, setidak-tidaknya aku turut mendapat sedikit ilmu.

“Ibunya sudah siap belum acuan tepung tu?” Ayah bersuara kepada ibu.

“Sudah. Hafizh, tolong hantarkan kepada ayah benda ni.”

Hafizh hanya mengikut apa yang ibu perintahkan. Aku segera mengutip segala plastic-plastik tepung yang telah kosong untuk dibuang. Ibu pula sibuk menyediakan gula merah. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi.

“Hello.” Aku bergerak menjauhkan diri daripada khemah yang sedang riuh rendah akibat gelak ketawa dari penduduk kampung yang sedang berbual.

“Hello Amar. Kau kat mana? Malam ni free tak?” Suara yang amat sangat aku kenali. Baihaqky, senior ketika aku berada di dalam sekolah menengah di Sungai Petani.

“Aku kat Klang. Kenapa?”

“Tak, kawan aku nak jumpa kau, nak tengok motor kau kejap.” Nak tengok motor aku buat apa? Jikalau tidak salah, dia pernah bagitahu aku yang kawannya juga mempunyai model motor yang serupa dengan aku.

“Aku kat Klang ni, dalam program anak angkat. Dia nak jumpa pasai apa?”

“Tak, dia nak tengok design belakang motor kau. Kau kan dah modified sikit belakang tu.”

“Malam ni tak boleh, minggu depan boleh?” Mahunya tidak boleh, aku bukannya datang dengan motosikal aku, tetapi dengan bas UiTM. Lainlah dengan motosikal aku, bolehlah aku pecut sebentar ke Shah Alam semula dan datang kembali sebelum aktiviti malam ini tamat.

“Okay, when you are free, give me a call.”

“Okay, bye.”

“Bye.” Panggillan ditamatkan.

Aku mendongak ke langit. Suasana malam ini agak tenang. Tiada angin tiada awan. Mungkin aktiviti pada malam ini tidak akan terganggu akibat hujan. Beberapa pelajar perempuan bersamar Zahirah sedang membancuh air. Terasa dahaga pula apabila melihat kearah mereka.

“Awak nak guna kamera awak tak malam ni?” aku bertanya kepada Zahirah ketika menghampiri mereka.

“Tak apa lah. Awak tangkaplah gambar apa-apa.” Dia hanya tersenyum sambil menghulurkan segelas air kepadaku bagaikan tahu sahaja yang aku sememangnya dahagakan air.

“Tak apalah kalau macam tu.”

Aku berjalan ke arah sebuah meja yang terletak tidak jauh dari khemah. Kelihatan ramai budak-budak sedang bermain-main sementara golongan dewasa sedang sibuk membuat persiapan untuk memasak dodol. Aku menghidupkan kamera Zahirah untuk menangkap beberapa suasana ketika itu. Setelah mendapatkan sudut yang sesuai, aku mengapplikasikan segala kemahiran dalam menangkap gambar menggunakan kamera Zahirah. Dahulu aku sangat meminati fotografi. Aku pernah memiliki sebuah kamera Digital Single Lense Reflection atau dikenali sebagai DSLR. Namun aku terpaksa menjualkannya demi mendapatkan motosikal yang aku tunggangi sekarang. Hobi untuk menunggang motosikal lebih mendalam daripada fotografi. Tapi aku tetap berazam akan membeli sebuah kamera DSLR semula suatu hari nanti.

Kenapa ramai sangat budak-budak di sini? Dan kenapa seperti mereka sedang berkumpul? Ada aktiviti untuk mereka juga kah? Persoalan demi persoalan bermain difikiran. Memang, terdapat beberapa kumpulan budak-budak di sini.

“Ada apa budak-budak ni berkumpul ni?” aku mengajukan soalan kepada seorang pelajar yang datang menghampiri aku yang sedang mengambil gambar. Aku rasakan pelajar ini dari semester ke lima kerana aku tidak mengenalinya.

“Kami ada pertandingan nasyid esok ni bang. Ni kami tengah berkumpul nak berlatih. Tunggu abang-abang dengan kakak-kakak yang mengajar pagi tadi tu latihkan kami.”

Abang? Ya Allah, besarnya budak ini hinggakan aku rasakan dia salah seorang daripada pelajar fakulti yang turut menyertai program ini. Atau aku yang kecil? Maklumlah, jikalau waktu siang tadi, aku dapat mengenali semua pelajar fakulti kerana kami semua memakai baju yang seragam yang sememangnya dibuat khas untuk program ini. Tetapi pada mala mini, baju adalah bebas. Hanya ada beberapa kerat sahaja yang masih memakai baju yang sama dari petang tadi. Memang aku tidak dapat mengenali mereka.

“Oh, ya ka? Hangpa budak sekolah rendah ka menengah?”

“Rendah.”

Pergh!! Gila besar budak ini. Kalau ketika sekolah rendah sudah sama saiz dengan budak university, memang besarlah apabila sudah besar nanti.

“Abang ni dari Kedah ke?”

“Ha ah.” Aku hanya menjawab pendek. Tangan masih sibuk memetik picu kamera. Besar juga kad memori kamera Zahirah kerana penunjuk pada skrin kameranya menunjukkan masih terdapat ruangan untuk lebih dari 300 gambar yang boleh ditangkap.

“Patut la abang punya loghat tu macam orang utara.” Dia tersenyum. Aku hanya membalas kembali senyumannya.

“Okayla, abang nak pi tengok depa kacau dodol sat sambil ambik gambaq.”

Dodol kelihatan masih cair. Hanya seorang sahaja yang sedang mengacau dodol ketika ini. Ayah pula sedang berbual dengan penduduk kampong lain. Mungkin ahli kumpulan ayah juga fikirku. Kumpulan Puteri UMNO pula kelihatan sedang sibuk bergambar sambil mengacau dodol. Jikalau diwujudkan pertandingan kumpulan paling meriah, aku dapat merasakan kumpulan Puteri UMNO inilah yang akan membolot tempat pertama, kedua dan ketiga. Sememangnya kemeriahan kumpulan mereka jelas kelihatan dengan hiruk pikuk gelak tawa dari ahli-ahlinya. Aku menghampiri pengacau dodol yang sedang mengacau dodol ketika ini. Aku rasakan dia ini sebaya dengan umur ayah.

“Senang ja rupanya nak buat dodol ni ek?” aku bertanya kepada pakcik itu.

“Sekarang memang senang lagi. Nanti waktu dia dah nak masak tu, penat jugak la.”

Penat? Kenapa sampai perlu penat?

“Kenapa pulak?” Apa yang sedang bermain difikiranku itu rupanya terkeluar dimulutku tanpa sempat aku memikirkan ayat yang sesuai untuk bertanya.

“Waktu dah nak masak nanti, memang agak liat la. Kena tukar-tukar orang untuk mengacaunya.” 

Penerangan ringkas daripada pakcik itu amat memuaskan hatiku. Aku mengambil gambar dodol yang sedang dikacaunya itu. Mungkin boleh aku gunakan untuk membezakan dengan dodol ketika sudah masak nanti. Aku menyambung kembali menangkap gambar suasana di situ. Ketika sedang asyik melihat paparan pada skrin LCD kamera itu, aku terpandang seseorang. Aku mengamatinya. Memang sah dialah gadis yang aku ingin berjumpa dan menunjukkan kepada kawan-kawanku yang aku bukanlah ditolak.

Thursday, December 16, 2010

Bab 10


“Amar! Weh, Amar! Bangun la!” Hafizh mengejut aku sambil menunjukkan jam di tangannya. Aku yang masih dalam keadaan mengantuk, hanya mampu melihat, namun masih belum mampu menafsirkan sudah pukul berapa.

“Weh! Bangun la! Dah pukul 4.45 dah ni. Bubur pun dah habis masak dah, diorang dah start distributed dah.” Hafizh menjerit lagi.

Pukul 4.45 petang? Biar betul? Adakah telefon bimbit aku tidak berbunyi sebentar tadi? Tapi, aku memang terbiasa tidak sedar yang telefon bimbit aku berbunyi tiap kali kepenatan. Pernah aku terlepas sahur di bulan puasa akibat tidak sedar bahawa telefon bimbit sudah berbunyi hinggakan enam panggilan daripada mama tidak berjawab. Hampir enam puluh minit mama membebel akibat tidak bangun sahur dan membiarkan dia menunggu selama hampir enam minit di telefon.

Aku bagaikan tersentak terus bangun dengan mengejut. Lalu turun dari katil dan terus meluru ke dapur rumah. Entah apa yang dicari olehku, hampir dua tiga kali aku menawaf meja makan di dapur.

“Oit! Fauzi tunggu dekat depan la, bukan dekat dapur.” Hafizh membebel lagi.

Ya tak ya juga, sepatutnya aku pergi ke pintu depan, bukannya ke dapur. Apa yang sedang aku buatkan di sini? Bukannya ada apa pun di dapur ini. Mengigaukah aku? Apa yang aku mimpikan dalam tidur tadi agaknya hingga terbawa-bawa ke dapur? Mimpi sedang berada di Mekah agaknya. Mungkin sedang menawaf Kaabah.

“Sat la, aku nak pi cuci muka sat.”

Nasib baik aku terpandang sinki dapur. Dapat juga aku mencari jawapan dalam sekelip mata. Aku segera mencuci muka. Ketika hendak menuci muka, aku terdengar Hafizh ketawa.

“Eleh, mengigau taknak ngaku.” Kian galak tawanya itu. Aku hanya mampu tersenyum.

“Jomlah. Kunci rumah ada kat hang ka? Jangan lupa kunci rumah pulak.” Hafizh hanya mengangguk. Selepas mengunci rumah, dia menyertai aku dan Fauzi di dalam kereta.

“Hang pun tak terjaga jugak ka tadi?” Aku bertanya kepada Fauzi.

“Tak ada lah. Aku dah pergi tadi lepas tengok tv kejap. Aku tengok korang tengah tidur, malas pulak aku nak mengganggu, jadi aku pergi la dulu. Sampai kat sana, aku tak sedar yang dah lewat dah. Sampai orang dah nak siapkan bubur dah, baru aku sedar yang korang tak ada kat sana. Itu yang aku balik tu kejutkan korang.”

“Baik tak payah, bubur pun dah nak siap.” Hafizh menyampuk, aku hanya mengangguk dan mengiyakan apa yang Hafizh katakan.

“Tak la, aku pun cadang taknak ganggu korang tidur, tapi ibu dengan ayah ada dekat sana. Then, ayah pun ada tanya pasal korang. Sebab tu aku balik tu.”

“Betoi jugak. Sat lagi, depa ingat kita malaih pulak” Aku tahu dua orang ini sangat faham dengan dialek orang utara kerana mereka sudah tiga tahun berada di Pulau Pinang, sebab itu aku lebih selesa berbahasa dengan mereka menggunakan bahasa ibunda negeriku.

“Tak payah ingat, diorang tengok muka kau je diorang dah tahu kau tu malas.” Hafizh memerliku. Fauzi dan aku turut tertawa.

“Ala, tengok muka hang tu lagi la depa tau.” Aku hanya membalas balik. Hanya itu yang mampu kerana aku masih dalam kekeliruan kerana baru sahaja bangun dari tidur. Memang betul kata orang-orang tua, tidur petang boleh jadi gila. Jika tidak, sudah pasti aku tidak menawaf meja makan di dapur setelah bangun sebentar tadi.

Tidak sampai lima minit, kereta Wira ayah yang dipandu oleh Fauzi memasuki perkarangan rumah Puan Maznah. Memang jelas kelihatan segala bubur lambuk sudah siap dibungkus dan sedang diedarkan. Memang kami agak terlambat rasanya. Selepas turun dari kereta, aku segera mendapatkan pelajar-pelajar lain yang sedang menunggu di tepi jalan di hadapan rumah Puan Maznah. Boleh dikatakan jalan ini adalah jalan besar kerana jalan ini menghubungkan seluruh kampong. Yang ada hanya beberapa orang sahaja. Mungkin yang selebihnya sudah pulang kerumah keluarga angkat mereka akibat penat mengacau bubur. Kami pula penat akibat terlebih tidur.

“Dah ramai ka yang dapat bubur?” aku bertanya kepada Faizal yang sedang menahan sebuah motosikal yang sedang dipandu oleh seorang budak. Aku dapat rasakan budak ini masih belajar di sekolah rendah berdasarkan saiz badannya. Inilah suasana kampong, ibu bapa tidak ambil peduli jika anak-anak mereka menunggang motosikal ketika belum cukup umur. Asalkan mereka tidak melanggar sesiapa, itu sudah cukup. Aku dahulu pun, diajar menunggang motosikal ketika aku berada di dalam darjah empat. Apabila aku sudah berada di dalam darjah lima, aku sudah mampu untuk menunggang sebuah motorsikal buatan syarikat Motorsikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd atau lebih dikenali dengan nama panggilan MODENAS. Motosikal itu ialah Kriss. Jika diikutkan ketinggian aku ketika itu, motorsikal ini sangatlah tinggi hingga memaksa aku duduk di dalam raga jika berhenti. Jika tidak, memang tergolek aku dengan motosikal itu akibat tidak sampai kaki.

“Ramai jugak la. Korang pergi mana?” Faizal bertanya kehairanan kerana sebentar tadi kami hilang seketika.

“Aku ngan Hafizh pi solat sat. Awat?”

“Lamanya hampa pergi solat?” Dia bertanya dengan nada terkejut. Ceh!! Nak tiru loghat utara konon. Baru duduk tiga tahun di Pulau Pinang dah nak berlagak. Sebut “hangpa” pun tak betul.

“Biasala, tok imam mintak kami bersihkan masjid sat.” Aku hanya tergelak dengan lawak yang aku cipta sendiri.

“Lewatnya tok imam korang sembahyang Zohor? Aku tengok korang pergi tadi dalam pukul 2 lebih. Bukan Zohor masuk pukul 1 lebih ke?” Faizal yang dapat menangkap seloroh aku tadi mengajukan soalan yang mematikan gelak tawaku. Bukan aku tidak memahami bagaimana Faizal ini.

“hahaha... Tak adalah. Aku pi balik rumah sat dengan Hafizh and Fauzi. Lepas solat ingat nak tidoq sat, tengok-tengok jam dah pukul 4 lebih. Adeh, terlepas nak tolong hangpa”

“Terlepas ke tersengaja?”

Aku hanya tersenyum sumbing melihat Faizal yang sedang memberikan sebungkus bubur lambuk kepada budak bermotosikal tadi. Memang betul, bukan aku sengaja hendak terlajak tidur. Aku memandang sekeliling khemah dimana tempat bubur lambuk di masak. Aku bagaikan mencari sesuatu, tetapi masih dalam keadaan terpinga-pinga. Mungkin aku masih lagi dalam keadaan mengantuk agaknya. Aku lihat Hafizh dan Fauzi sedang mencuci periuk-periuk yang telah digunakan untuk memasak bubur lambuk. Aku capai beberapa bungkus bubur lambuk untuk sama-sama mengedarkan kepada penduduk kampong yang lalu lalang.

“Awak boleh tolong pegang kamera saya tak?” Aku terdengar suara dibelakang ku. Seperti yang aku duga, suara Zahirah. Seorang gadis dari Johor yang menjadi kawan rapatku ketika aku berada di UiTM Pulau Pinang. Aku mengenali dia setelah ditempatkan dalam kumpulan yang sama ketika membentangkan projek kursus Tamadun Islam.

“Boleh. Awak tak guna ke?” Ketika bersama Zahirah, aku terpaksa mengikut dialek yang dia gunakan. Jika aku menggunakan dialek Utara, aku rasakan sangat kasar baginya. Entah kenapa dengannya aku tidak dapat menggunakan dialek Utara.

“Tak. If awak nak tangkap gambar, tangkap la. Saya tak guna. Tapi malam ni jangan lupa bawakan tau. Untuk aktiviti kacau dodol.”

“Okay.” Selepas aku berkata begitu, Zahirah berlalu pergi ke arah khemah tempat menyediakan bubur lambuk. Aku lihat pelajar-pelajar yang tinggal makin berkurangan. Mungkin semuanya sudah pulang sesudah aktiviti ini. Yang tinggal hanyalah beberapa orang pelajar dari semester ketiga dan beberapa orang sahaja pelajar dari semester ke lima. Itupun, sedang mencuci kawasan tempat menyediakan bubur lambuk itu tadi.

“Muslim dengan Syed dah balik ka dari sekolah?” Aku mengajukan soalan itu kepada Faizal. Aku terserempak mereka di sekolah sebentar tadi ketika pergi melawat mereka di sana. Mereka sedang mengajar pelajar Darjah Enam yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah. Tercengang aku seketika apabila aku memasuki kelas yang mereka ajar itu, dan seorang budak bertanyakan aku sama ada aku ada akaun Facebook atau tidak. Masyaallah, budak berumur dua belas tahun pun ada akaun Facebook, aku pula yang ketinggalan. Masih lagi tidak mahu untuk membuat akaun Facebook. Agak maju rupanya penduduk di Kampung Sungai Serdang ini. Tidak ketinggalan zaman sampaikan budak kecil pun tahu apa itu Facebook.

“Diorang dah balik kot. Sebab aku dah bagi Muslim satu motor.”

Hanya tinggal beberapa bungkusan sahaja lagi untuk diberikan kepada penduduk kampong. Sesudah bungkusan terakhir diserahkan, aku mendapatkan Hafizh dan Fauzi yang masih mencuci peralatan lain yang telah digunakan ketika mengacau bubur tadi. Datang beberapa pelajar perempuan datang untuk membantu mencuci, aku dapat rasakan mereka semua pelajar dari semester kelima kerana aku lansung tidak mengenali mereka. Aku juga turut membantu Hafizh dan Fauzi untuk mencuci. Barang-barang ini diperlukan sekali lagi untuk aktiviti pada malam ini, iaitu mengacau dodol. Bukan senang hendak mengacau dodol ini. Ia memerlukan stamina yang tinggi terutamanya ketika dodol itu sudah hendak masak.

Habis sahaja semua peralatan dicuci dan di letakkan di atas meja dibawah khemah tadi, aku, Hafizh dan Fauzi bercadang hendak pulak. Kami mendapatkan ayah dan ibu yang sedang berbual dengan penduduk kampong yang lain yang turut menyertai program anak angkat ini. Aku lihat jam sudah menunjukkan pukul 6.00 petang. Badanku masih segar dan tidak sepenat seperti yang aku lihat pada Faizal. Mungkin banyak tidur agaknya. Faizal aku lihat sedang menghidupkan motosikal pemberian ayah angkatnya itu. Dia pun hendak pulang juga agaknya, bisik hatiku. Entah kenapa aku rasakan aktiviti pada petang ini macam tidak lengkap. Seperti aku sedang terlepas sesuatu yang aku hajatkan pada petang ini. Apakah yang aku sedang terlupa ini?

Ya Allah! Aku sudah terlupa yang aku ingin bertemu dengan gadis itu pada petang ini.

Tuesday, December 14, 2010

Bab 9


“Ceh, tak best mana pun. Jom la balik kacau bubur lambuk.” Aku merungut. Bukan niatku sebenarnya untuk melihat segala aktiviti yang dilakukan di sekolah. Tetapi aku ingin pergi mencari gadis semalam agar dapat aku buktikan kepada kawan-kawan aku yang tidak betul ini, bahawa aku pun laku jugak.

“La, baru ja sampai tak sampai 10 minit dah nak balik?” Hafizh marah-marah dengan sikapku.

“Bukan best pun. Dah la, jom la balik.” Aku tetap dengan pendirian aku.

“Kejap la. Aku nak tengok awek tingkatan lima kejap.” Ya Allah, sempat lagi kau nak menggatal?

“Hoi, hang nak balik tak mau? Kunci ada kat aku ni. Kalau hang tak mau, hang tunggu sini. Aku nak balik dah.” Aku mengugut Hafizh sambil mengeluarkan kunci motor dan ditayangkan kearahnya. Bagaikan lembu dicucuk hidungnya, Hafizh datang ke arah aku yang sudah berada di parkir motosikal. Namun terpancar jelas di wajahnya perasaan marah yang meluap-luap dihatinya. Padanlah dengan muka kau, siapa suruh kau cabar aku sangat semalam. Sekarang kau terima la akibatnya. Aku tersenyum di dalam hati.

Sepanjang merayau di sekolah ini, tidak banyak yang aku lihat yang dapat menarik perhatian aku. Namun, jika dilihat pada saiz bangunan dan keluasan sekolah, rasanya tidak banyak penduduk dikampung ini. Kerana saiz sekolah ini agak kecil. Jikalau aku hendak merayau satu kampong, tiga hari berada di sini pun belum cukup. Jarak antara rumah ke rumah agak jauh. Ada sesetengah rumah itu, jaraknya hampir seratus kilometre dari rumah jirannya. Namun, Kampung Sungai Serdang aku lihat seperti sebuah kampong yang terancang. Susun atur setiap rumah bagaikan telah dirancang dengan teliti. Mungkin orang yang mengasaskan kampong ini telah terlebih dahulu merancang segala kedudukan rumah-rumah yang akan dibina. Memang cantik jika dilihat.

Aku juga perhatikan, setiap rumah yang berada di sini, pasti akan ada sekurang-kurangnya dua buah kereta di rumah mereka. Berlainan benar dengan kampong aku di Kuala Nerang, Kedah. Ada rumah yang tidak ada kereta lansung, Jikalau ada sekali pun, ketika musim perayaan, iaitu ketika anak-anak mereka pulang untuk beraya. Mungkin di sini, penduduk-penduduk kampungnya banyak yang berkerja dan pendapatan mereka melebihi RM1500 sebulan bagi melayakkan mereka membuat pinjaman membeli kereta. Pada zaman sekarang, jika hendak membeli kereta, setiap individu itu perlu memperolehi gaji minima lebih dari RM1000 atau perlukan seorang penjamin yang bergaji lebih dari RM1000 jika dia tidak mempunyai gaji seperti itu. Susahnya jika hendak hidup di zaman yang serba maju dan mencabar ini. Persaingan ada di mana-mana. Adakah aku nanti setelah tamat belajar akan mendapat pekerjaan? Aku sendiri penat dan takut untuk memikirkan masa depan aku setelah melihat keadaan sekelilingku sekarang.

“Depa dah start menjerang air dah tu. Sat lagi depa masukkan beras la kot. Baru boleh kacau.” Bisikku kepada Hafizh apabila motosikal yang kami naiki hendak memasuki perkarangan rumah Puan Maznah. Aku melihat beberapa orang sedang memasukkan air ke dalam periuk yang berada di dapur. Ini merupakan proses pertama dalam memasak bubur lambuk.

“Kau nak tunggu sini ke? Aku rasa macam lambat je lagi. Zohor dah la tak sembahyang lagi. Balik sembahyang dulu la.”

Betul jugak apa yang Hafizh cakapkan. Sememangnya kami masih belum menunaikan solat fardhu Zohor. Keinginan untuk mengenali gadis itu telah membuatkan aku leka dan alpa akan tugas wajib yang belum aku sempurnakan. Ya Allah, apa yang telah aku lakukan ini?

“Ajak fauzi sekali la. Takkan nak tinggalkan dia pulak.” Aku memberikan cadangan kepada Hafizh.

“Kejap aku pergi panggil dia.”

Sedang kereta hendak meluncur keluar dari perkarangan rumah Puan Maznah, aku terpandang sebuah kereta Myvi kelabu yang dipandu oleh seseorang yang aku cari semenjak tadi.

“Eh, tu kan budak semalam tu!” aku menepuk-nepuk bahu Hafizh yang berada di tempat duduk penumpang hadapan sambil menuding ke arah kereta Myvi yang sedang bergerak memasuki perkarangan rumah Puan Maznah. Kereta kami berselisihan. Tetapi gadis itu hanya memandang ke arah hadapan. Mahunya tidak, jalan hendak memasuki ke rumah Puan Maznah sangat kecil. Jika dia melihat ke arah kami, pasti kereta Myvinya akan ke longkang bersebelahan jalan.

“Kenapa? Tak habis-habis lagi? Kau tu dah kena rejek semalam lagi. Sudah-sudah la.” Hafizh dan Fauzi ketawa.

“Ala, hangpa tunggu ja la sebelum habis program ni, tunggu tengok. Mesti aku dapat sembang dengan dia punya la.”

Aku masih lagi tidak mahu mengalah. Aku hanya tunduk dan sesekali memandang ke luar. Lebih baik aku melayan keindahan alam daripada aku mendengar mereka berdua mempersendakan aku. Terdetik juga di hati mengapa aku tidak sahaja tunggu di sana mengacau bubur lambuk. Bukannya aku tidak boleh solat di rumah Puan Maznah, malah Puan Maznah sendiri mempelawa kami tadi sebelum berangkat pulang untuk bersolat di rumah ayah. Menyesalnya aku. Jika tidak, mungkin aku dapat buktikan kepada Hafizh bahawa aku pun masih lagi mampu untuk menarik perhatian perempuan. Perlukah aku turun dari kereta sekarang? Masih sempat lagi. Mungkinkah aku akan Nampak terdesak jika aku benar-benar turun dari kereta sekarang. Biarlah.

Tidak sampai 5 minit di dalam kereta, kami sudah tiba di rumah. Ini menunjukkan betapa dekatnya rumah ayah dengan rumah Puan Maznah. Tidak perlu pun untuk ayah berikan kereta kepada kami untuk pergi ke rumah Puan Maznah. Boleh sahaja kami berjalan kaki ke sana. Bukannya tidak biasa. Ketika berada di Kolej Zamrud di UiTM Pulau Pinang dulu, jarak dari kolej ke kampus bukanlah dekat, lebih jauh lagi daripada ini, boleh sahaja kami berjalan pergi.

“Nak berjemaah ke nak sorang-sorang je?” Fauzi bertanya sambil membuka pintu rumah menggunakan kunci yang ibu berikan sebentar tadi sebelum pulang dari rumah Puan Maznah. Fauzi ini agak alim sedikit orangnya.
“Ikutlah.” Aku menjawab acuh tak acuh. Aku tidak kisah sebenarnya sama ada solat berjemaah atau solat bersendirian. Jika solat berjemaah, banyak kelebihannya selain dari pahala yang dijanjikan itu 27 kali ganda berbanding solat bersendirian. Namun, jika solat bersendirian, kita tidak perlu peruntukkan masa untuk menunggu imam baru boleh melakukan sesuatu rukun. Hal inilah yang membuatkan ramai rakyat Islam sekarang lebih suka bersolat sendirian berbanding solat berjemaah, termasuklah aku. Ya Allah, kau berikanlah aku hidayah agar aku lebih gemar untuk solat secara berjemaah berbanding solat bersendirian.

“Kalau begitu, berjemaah sahajalah.” Aku hanya mengangguk. Aku lihat Hafizh tergesa-gesa meluru masuk ke bilik tidur yang ayah dan ibu sediakan kepada kami.

“Hoi, nak pi ke mana tu? Tak mau solat dulu ke?” Aku menjerit ke arah Hafizh.

“Korang solat la dulu, nanti dah siap kejutkan aku. Aku nak tidur kejap.” Hafizh menjawab dari dalam bilik.
Aku melihat Fauzi, dia hanya tersenyum dan menggelengkan kepalanya mendengar jawapan dari Hafizh. Aku berlalu pergi ke dapur lalu ke bilik mandi untuk mengambil wuduq. Air kolah yang sejuk itu amat menyegarkan tubuhku seperti aku baharu sahaja selesai mandi. Mungkin inilah yang dikatakan hikmah berwuduq.

Selepas selesai solat zohor, aku meluru masuk ke bilik, mengejutkan Hafizh. Fauzi tidak masuk ke bilik, mungkin dia sedang menonton televisyen di luar kerana aku dengar seperti orang sedang berbual-bual. Rancangan apalah yang menarik sangat pada hari Sabtu ini melainkan rancangan filem Hindustan di TV2 dan TV3. Atau mungkin Fauzi membuka siaran 411 hingga 413 yang ditawarkan Astro yang menayangkan filem-filem luar. Rupanya keluarga ayah dan ibu ini juga amat meminati filem-filem dari luar. Jika tidak, sudah pasti mereka tidak melanggan siaran ini. Hebat! Sangat berbeza dengan suasana di kampong aku. Susah untuk melihat keluarga-keluarga yang memilih rancangan sebegini termasuklah keluarga aku. Mereka melanggan siaran ini setelah aku mengesyorkan akibat kebosanan berada di kampong. Lebih baik aku berada di rumah menonton televisyen daripada aku merayap keluar. Alasan ini aku utarakan kepada mama, dan mama bersetuju dengan pendapat aku itu. Mungkin dia tidak mahu aku jadi seperti budak-budak kampong lain yang kebanyakannya aku lihat sudah rosak. Menurut mama, beberapa bulan lalu ada truck polis datang menangkap beberapa budak kampong yang disyaki menghidap dadah. Aku beristighfar sejenak apabila mama bercerita tentang itu. Nampak sangat budaya kuning sudah mula menular dengan teruk dikalangan remaja-remaja di Malaysia. Ya Allah, kurniakanlah aku zuriat-zuriat yang soleh. Amin.

Aku termenung melihat ke dinding dan siling di bilik. Silingnya agak condong sedikit ke arah timur. Mungkin untuk menyesuaikan dengan keadaan bumbung yang berbentuk tirus ke timur. Aku teringat kembali apa yang telah terjadi sebentar tadi. Hai, mengapalah aku ini tidak sahaja turun ketika itu. Bukannya jauh sangat rumah Puan Maznah dengan rumah ayah. Aku rasakan mata ini semakin berat. Aku setkan penggera di telefon bimbit untuk berbunyi pada pukul 3.00 petang. Semoga aku terjaga sebentar nanti. Dan semoga aku mendapat peluang kedua bertemu gadis itu.

Bab 8


“Mana budak batch kita yang lain?” Hafizh mengeluh. Jam sudah menunjukkan pukul 1.00 tengah hari. Matahari kian panas terik. Hanya beberapa orang sahaja yang aku kenali dari budak-budak yang sama semester dengan aku. Namun, semuanya adalah perempuan. Budak-budak lelaki yang ada pun, kebanyakannya dari semester ke lima. Mungkin mereka ditugaskan bersama dengan kumpulan-kumpulan yang akan mengajar di sekolah agaknya. Tetapi, setahu aku, hanya Muslim dan Syed sahaja yang pergi mengajar. Mana Zul dan Faizal?

“Diorang ni, kalau dah nak ponteng tu, bagitahu la awal-awal. Tak payah la kita bersusah payah datang awal macam ni.” Aku mengomel.

“Itu la, bukan nak ajak ponteng sekali.” Fauzi menyampuk. Kami ketawa bersama-sama.

“Eh, budak semalam tak ada pun. Dia satu geng dengan budak-budak yang pergi mengajar ke?” Aku bertanyakan kepada Hafizh. Memandangkan dia lebih rapat dengan aku berbanding dengan Fauzi, aku lebih suka untuk berkongsikan hal-hal sebegini dengannya.

“Budak mana? Yang datang ambil air kat meja semalam tu ke?” Fauzi menyampuk dengan pelat Kelantannya itu.

“Ha ah.” Aku hanya mengangguk.

“Hai, berminat ke?” Hafizh cuba mengusik. Aku memalingkan pandanganku kepadanya. Senyuman terukir diwajahnya memang sinis sekali. Aku tahu apa yang dimaksudkannya itu. Biarlah aku meminati sesiapa sekali pun, bukannya aku suruh kau yang pergi mengurat.

“Tak ada la, saja nak tahu. Iye lah, semalam kan, hangpa cabaq aku sangat nak suruh bersembang dengan dia.” Aku membalas kembali dengan nada sinis.

“Ala, kau memang tak akan dapat bersembang dengan dia punya. Semalam pun dia buat tak layan je kat kau.” Peril Hafizh diiringi dengan gelak ketawa dia dan Fauzi. Patang betul aku.

“Takpe, hangpa tengok nanti. Sebelum aku habis program ni aku akan dapat kenal and bersembang dengan dia.” Aku mendabik dada. Bukan bermakna aku bongkak, cuma aku tak selesa bila mereka mempermainkan aku. Nak diikutkan, bukan aku berminat sangat pun dengan gadis semalam itu.

Pelajar-pelajar perempuan lain sibuk menyediakan bahan-bahan yang akan digunakan untuk membuat bubur lambuk. Aku turut tumpang menyibuk dengan mengupas bawang merah yang hampir seguni banyaknya. Berapa periuk besar agaknya bubur lambuk yang hendak disediakan? Sambil mengupas bawang merah, mataku liar memandang sekitar rumah Puan Maznah. Cantik rumahnya. Mungkin kerana dia seorang usahawan berjaya, sebab itu dia mempunyai rumah yang cantik ini. Menurut ayah, Puan Maznah mengusahakan makanan seperti kerepek dan maruku. Perniagaan Puan Maznah amat berkembang maju. Hasil produk kilang Puan Maznah banyak dipasarkan di sekitar Selangor. Selain itu, Puan Maznah juga turut menerima tempahan dari negeri-negeri lain di sekita Malaysia. Tidak hairanlah mengapa rumahnya begitu cantik sekali di kampung itu. Ayah juga menjadi salah seorang pekerja Puan Maznah. Selain mengusahakan bisnes membuat makanan, Puan Maznah juga seorang yang giat dan aktif dalam berpersatuan. Aku pun sudah tidak ingat persatuan apa yang disertai oleh Puan Maznah. Akan tetapi, yang pasti, kejayaannya itu amat membakar semangat aku.

“Hoi, bila nak habis kalau mata asyik merayap tengok ke lain?” Tegur Hafizh dari belakang.

“Okay la aku tolong jugak, dari hang tu yang duduk saja ja.”

“Mana ada, aku pun tolong jugak tau. Tolong tengok pun kira tolong ni. Penat ni tau tolong tengok”

“Ala... Kesiannya, kesiannya.. Meh sini sayang, meh sini, nak tolong lapkan peluh meh.”

Makcik-makcik dan pelajar-pelajar lain yang berada di situ tertawa melihat gelagat kami. Aku lihat Fauzi sedang sibuk mencuci periuk-periuk yang akan di gunakan untuk program itu nanti. Lebih kurang tujuh periuk semuanya. Banyak juga rupanya bubur lambuk yang ingin disediakan. Pelajar lelaki semester kelima pula ada yang sedang menggoreng bawang dan ada juga yang sedang mencuci udang kering. Jikalau aku yang mencuci udang kering, memang tidak tidur seharianlah aku. Entah apa yang aku takutkan sangat dengan makanan laut ini. Namun, jika dimakan, sememangnya kulit aku akan mengalami sedikit alahan, lebam-lebam dan kegatalan.

“Oit, pergi la tolong nyalakan api dan angkat periuk besar dekat Fauzi tu.” Aku mengarahkan Hafizh pergi menolong Fauzi. Kasihan aku melihat Fauzi keseorangan mencuci periuk dan mengangkatnya ke tempat memasak. Terdapat seorang pelajar lelaki senior, jikalau tidak silap, lelaki ini berada dalam semester ke tujuh, Program Kejuruteraan Kimia, sedang sibuk menolong menggoreng bawang bersama seorang pelajar perempuan. Kalau tak silap aku, lelaki itu penduduk kampung ini juga. Dia jugalah yang mencadangkan program anak angkat ini dijalankan di kampung ini. Dan menurut perbualan aku dengan salah seorang pelajar senior yang sebaya dengan perempuan yang membantunya itu, perempuan itu merupakan kekasihnya. Hai, bahagianya mereka. Tapi bagi aku yang tiada kekasih ini, nak menyampah pun ada.

Kedengaran bunyi deruman enjin motor Honda EX5 dan Honda Wave ke arah khemah tempat kami mengupas bawang. Baru nak datang Zul dan Faizal. Aku menyelok poket untuk mengambil telefon bimbitku. Jam sudah menunjukkan pukul 1.45 tengah hari.

“Kenapa tak datang tahun depan je?” Hafizh bersuara sambil mengangkat periuk yang telah di cuci untuk diletakkan di dapur memasak.

“Oit, bebaik sikit. Kami sampai awal lagi dari hangpa. Hangpa tu yang lewat.”

“Hang sampai pukul berapa?” Aku pula bersuara tidak puas hati.

“Kami sampai dalam pukul sebelas tadi. Sorang pun tak ada lagi.” Faizal menjawab. Mereka berdua berjalan seiringan selepas mematikan enjin motosikal ke arah aku yang masih lagi mengupas bawang.

“Kan dah bagitahu semalam yang aktiviti start pukul 12.30? Awat yang hangpa tak mai selepas subuh? Boleh jugak tolong potong rumput-rumput rumah Puan Maznah ni.” Aku cuba berseloroh.

“Itu la, kami memang cadang nak datang lepas waktu subuh, nak tolong potong rumput ni, tapi, Puan Maznah cakap tak payah susah-susah. Tu yang tak jadi tu. So, kami datang la pukul 11.” Kesemua yang ada disitu tergelak melihat gelagat aku, Zul dan Faizal.

“Hangpa dari mana?”

“Dari sekolah. Tengok budak-budak tu mengajar kejap.”

“Banyak ke orang? Diorang tengah buat apa sekarang?” Motosikal sudah ada. Jika nak diikutkan, sekolah itu bukanlah jauh sangat. Dekat jugak. Lebih baik aku naik motosikal daripada aku pergi dengan kereta ayah.

“Tak la banyak sangat. Budak-budak tingkatan tiga, empat dan lima dengar Madam Lina bagi ceramah. Budak-budak darjah enam sedang belajar.”

“Semenjak bila Madam Lina ambil kursus motivater?” Hafizh tergelak di belakang bila mendengar jawapan yang diberikan oleh Faizal. Memang betul, banyak rungutan yang aku dengari tentang Madam Lina tentang cara pengajaran yang disampaikan olehnya, tapi mengapa aku boleh sahaja menerima apa yang diajarkan olehnya? Dan, kenapa pula aku boleh mendapatkan gred yang cemerlang bagi subjek Madam Lina ketika di UiTM Pulau Pinang dulu? Sebelum dipindahkan ke Shah Alam, memang Madam Lina mengajar subjek Physics di UiTM Pulau Pinang kepada aku dan kawan-kawan yang lain termasuk Hafizh. Dahulu, Hafizh bukan sekelas dengan aku pun. Semenjak mendapat program yang sama di UiTM Shah Alam ni yang membuatkan aku dan dia rapat.

“Okay apa Madam Lina bagi ceramah. Aku tengok dia ajar pun okay je. Hangpa je kot yang tak faham and tak mahu tanya dia” Aku menyampuk kembali. Membela Madam Lina sebagai seorang warga pendidik. Lagipun, tidak elok jika seorang pelajar memperlekehkan pengajarnya. Ilmu yang diperolehi olehnya tidak akan menjadi berkat.

“Iye la.” Hafizh kembali menyambung kerjanya setelah lawak yang dia cuba lakukan dipintas olehku. Maaflah Hafizh, bukan aku sengaja berbuat demikian, tetapi ini juga untuk kebaikan kau di masa akan datang. Bukannya tidak boleh kau hendak berlawak, tetapi, biarlah berpada-pada.

Melihat Hafizh yang seakan merajuk, aku terfikir untuk memujuknya dengan mengajak Hafizh pergi ke sekolah rendah di sana. Lagipun, boleh juga aku perhatikan sama ada gadis semalam itu ada di sana atau tidak kerana sepanjang berada di sini, aku memang tidak pernah nampak gadis itu walau sekali pun. Hendak bertanya kepada senior-senior yang ada, aku bukan tahu nama dia. Lebih baik aku pergi cari sendiri.

“Wei Hafizh, jom pi ke sekolah jom. Hang tinggalkan ja apa yang ada tu bagi dua orang mangkuk ni pulak buat.” Faizal dan Zul menjeling kearah aku. Amboi, sedap betul bahasa aku gunakan. Buatnya ada mak cik-mak cik di sini yang sudah berkenan dengan kehenseman aku untuk dijadikan menantu, terus terbantut niat mereka.

“Jom.” Uish! Cepatnya menjawab. Pantang diajak tidak buat kerja, cepat sahaja.

“Wei, bak sini kunci motor. Kami nak pi berjalan pulak. Turn hangpa pulak buat kerja.” Aku hanya ketawa kecil. Enjin motor ku hidupkan. Dan kami meluncur laju ke arah sekolah.