“Ceh, tak best mana pun. Jom la balik kacau bubur lambuk.” Aku merungut. Bukan niatku sebenarnya untuk melihat segala aktiviti yang dilakukan di sekolah. Tetapi aku ingin pergi mencari gadis semalam agar dapat aku buktikan kepada kawan-kawan aku yang tidak betul ini, bahawa aku pun laku jugak.
“La, baru ja sampai tak sampai 10 minit dah nak balik?” Hafizh marah-marah dengan sikapku.
“Bukan best pun. Dah la, jom la balik.” Aku tetap dengan pendirian aku.
“Kejap la. Aku nak tengok awek tingkatan lima kejap.” Ya Allah, sempat lagi kau nak menggatal?
“Hoi, hang nak balik tak mau? Kunci ada kat aku ni. Kalau hang tak mau, hang tunggu sini. Aku nak balik dah.” Aku mengugut Hafizh sambil mengeluarkan kunci motor dan ditayangkan kearahnya. Bagaikan lembu dicucuk hidungnya, Hafizh datang ke arah aku yang sudah berada di parkir motosikal. Namun terpancar jelas di wajahnya perasaan marah yang meluap-luap dihatinya. Padanlah dengan muka kau, siapa suruh kau cabar aku sangat semalam. Sekarang kau terima la akibatnya. Aku tersenyum di dalam hati.
Sepanjang merayau di sekolah ini, tidak banyak yang aku lihat yang dapat menarik perhatian aku. Namun, jika dilihat pada saiz bangunan dan keluasan sekolah, rasanya tidak banyak penduduk dikampung ini. Kerana saiz sekolah ini agak kecil. Jikalau aku hendak merayau satu kampong, tiga hari berada di sini pun belum cukup. Jarak antara rumah ke rumah agak jauh. Ada sesetengah rumah itu, jaraknya hampir seratus kilometre dari rumah jirannya. Namun, Kampung Sungai Serdang aku lihat seperti sebuah kampong yang terancang. Susun atur setiap rumah bagaikan telah dirancang dengan teliti. Mungkin orang yang mengasaskan kampong ini telah terlebih dahulu merancang segala kedudukan rumah-rumah yang akan dibina. Memang cantik jika dilihat.
Aku juga perhatikan, setiap rumah yang berada di sini, pasti akan ada sekurang-kurangnya dua buah kereta di rumah mereka. Berlainan benar dengan kampong aku di Kuala Nerang, Kedah. Ada rumah yang tidak ada kereta lansung, Jikalau ada sekali pun, ketika musim perayaan, iaitu ketika anak-anak mereka pulang untuk beraya. Mungkin di sini, penduduk-penduduk kampungnya banyak yang berkerja dan pendapatan mereka melebihi RM1500 sebulan bagi melayakkan mereka membuat pinjaman membeli kereta. Pada zaman sekarang, jika hendak membeli kereta, setiap individu itu perlu memperolehi gaji minima lebih dari RM1000 atau perlukan seorang penjamin yang bergaji lebih dari RM1000 jika dia tidak mempunyai gaji seperti itu. Susahnya jika hendak hidup di zaman yang serba maju dan mencabar ini. Persaingan ada di mana-mana. Adakah aku nanti setelah tamat belajar akan mendapat pekerjaan? Aku sendiri penat dan takut untuk memikirkan masa depan aku setelah melihat keadaan sekelilingku sekarang.
“Depa dah start menjerang air dah tu. Sat lagi depa masukkan beras la kot. Baru boleh kacau.” Bisikku kepada Hafizh apabila motosikal yang kami naiki hendak memasuki perkarangan rumah Puan Maznah. Aku melihat beberapa orang sedang memasukkan air ke dalam periuk yang berada di dapur. Ini merupakan proses pertama dalam memasak bubur lambuk.
“Kau nak tunggu sini ke? Aku rasa macam lambat je lagi. Zohor dah la tak sembahyang lagi. Balik sembahyang dulu la.”
Betul jugak apa yang Hafizh cakapkan. Sememangnya kami masih belum menunaikan solat fardhu Zohor. Keinginan untuk mengenali gadis itu telah membuatkan aku leka dan alpa akan tugas wajib yang belum aku sempurnakan. Ya Allah, apa yang telah aku lakukan ini?
“Ajak fauzi sekali la. Takkan nak tinggalkan dia pulak.” Aku memberikan cadangan kepada Hafizh.
“Kejap aku pergi panggil dia.”
Sedang kereta hendak meluncur keluar dari perkarangan rumah Puan Maznah, aku terpandang sebuah kereta Myvi kelabu yang dipandu oleh seseorang yang aku cari semenjak tadi.
“Eh, tu kan budak semalam tu!” aku menepuk-nepuk bahu Hafizh yang berada di tempat duduk penumpang hadapan sambil menuding ke arah kereta Myvi yang sedang bergerak memasuki perkarangan rumah Puan Maznah. Kereta kami berselisihan. Tetapi gadis itu hanya memandang ke arah hadapan. Mahunya tidak, jalan hendak memasuki ke rumah Puan Maznah sangat kecil. Jika dia melihat ke arah kami, pasti kereta Myvinya akan ke longkang bersebelahan jalan.
“Kenapa? Tak habis-habis lagi? Kau tu dah kena rejek semalam lagi. Sudah-sudah la.” Hafizh dan Fauzi ketawa.
“Ala, hangpa tunggu ja la sebelum habis program ni, tunggu tengok. Mesti aku dapat sembang dengan dia punya la.”
Aku masih lagi tidak mahu mengalah. Aku hanya tunduk dan sesekali memandang ke luar. Lebih baik aku melayan keindahan alam daripada aku mendengar mereka berdua mempersendakan aku. Terdetik juga di hati mengapa aku tidak sahaja tunggu di sana mengacau bubur lambuk. Bukannya aku tidak boleh solat di rumah Puan Maznah, malah Puan Maznah sendiri mempelawa kami tadi sebelum berangkat pulang untuk bersolat di rumah ayah. Menyesalnya aku. Jika tidak, mungkin aku dapat buktikan kepada Hafizh bahawa aku pun masih lagi mampu untuk menarik perhatian perempuan. Perlukah aku turun dari kereta sekarang? Masih sempat lagi. Mungkinkah aku akan Nampak terdesak jika aku benar-benar turun dari kereta sekarang. Biarlah.
Tidak sampai 5 minit di dalam kereta, kami sudah tiba di rumah. Ini menunjukkan betapa dekatnya rumah ayah dengan rumah Puan Maznah. Tidak perlu pun untuk ayah berikan kereta kepada kami untuk pergi ke rumah Puan Maznah. Boleh sahaja kami berjalan kaki ke sana. Bukannya tidak biasa. Ketika berada di Kolej Zamrud di UiTM Pulau Pinang dulu, jarak dari kolej ke kampus bukanlah dekat, lebih jauh lagi daripada ini, boleh sahaja kami berjalan pergi.
“Nak berjemaah ke nak sorang-sorang je?” Fauzi bertanya sambil membuka pintu rumah menggunakan kunci yang ibu berikan sebentar tadi sebelum pulang dari rumah Puan Maznah. Fauzi ini agak alim sedikit orangnya.
“Ikutlah.” Aku menjawab acuh tak acuh. Aku tidak kisah sebenarnya sama ada solat berjemaah atau solat bersendirian. Jika solat berjemaah, banyak kelebihannya selain dari pahala yang dijanjikan itu 27 kali ganda berbanding solat bersendirian. Namun, jika solat bersendirian, kita tidak perlu peruntukkan masa untuk menunggu imam baru boleh melakukan sesuatu rukun. Hal inilah yang membuatkan ramai rakyat Islam sekarang lebih suka bersolat sendirian berbanding solat berjemaah, termasuklah aku. Ya Allah, kau berikanlah aku hidayah agar aku lebih gemar untuk solat secara berjemaah berbanding solat bersendirian.
“Kalau begitu, berjemaah sahajalah.” Aku hanya mengangguk. Aku lihat Hafizh tergesa-gesa meluru masuk ke bilik tidur yang ayah dan ibu sediakan kepada kami.
“Hoi, nak pi ke mana tu? Tak mau solat dulu ke?” Aku menjerit ke arah Hafizh.
“Korang solat la dulu, nanti dah siap kejutkan aku. Aku nak tidur kejap.” Hafizh menjawab dari dalam bilik.
Aku melihat Fauzi, dia hanya tersenyum dan menggelengkan kepalanya mendengar jawapan dari Hafizh. Aku berlalu pergi ke dapur lalu ke bilik mandi untuk mengambil wuduq. Air kolah yang sejuk itu amat menyegarkan tubuhku seperti aku baharu sahaja selesai mandi. Mungkin inilah yang dikatakan hikmah berwuduq.
Selepas selesai solat zohor, aku meluru masuk ke bilik, mengejutkan Hafizh. Fauzi tidak masuk ke bilik, mungkin dia sedang menonton televisyen di luar kerana aku dengar seperti orang sedang berbual-bual. Rancangan apalah yang menarik sangat pada hari Sabtu ini melainkan rancangan filem Hindustan di TV2 dan TV3. Atau mungkin Fauzi membuka siaran 411 hingga 413 yang ditawarkan Astro yang menayangkan filem-filem luar. Rupanya keluarga ayah dan ibu ini juga amat meminati filem-filem dari luar. Jika tidak, sudah pasti mereka tidak melanggan siaran ini. Hebat! Sangat berbeza dengan suasana di kampong aku. Susah untuk melihat keluarga-keluarga yang memilih rancangan sebegini termasuklah keluarga aku. Mereka melanggan siaran ini setelah aku mengesyorkan akibat kebosanan berada di kampong. Lebih baik aku berada di rumah menonton televisyen daripada aku merayap keluar. Alasan ini aku utarakan kepada mama, dan mama bersetuju dengan pendapat aku itu. Mungkin dia tidak mahu aku jadi seperti budak-budak kampong lain yang kebanyakannya aku lihat sudah rosak. Menurut mama, beberapa bulan lalu ada truck polis datang menangkap beberapa budak kampong yang disyaki menghidap dadah. Aku beristighfar sejenak apabila mama bercerita tentang itu. Nampak sangat budaya kuning sudah mula menular dengan teruk dikalangan remaja-remaja di Malaysia. Ya Allah, kurniakanlah aku zuriat-zuriat yang soleh. Amin.
Aku termenung melihat ke dinding dan siling di bilik. Silingnya agak condong sedikit ke arah timur. Mungkin untuk menyesuaikan dengan keadaan bumbung yang berbentuk tirus ke timur. Aku teringat kembali apa yang telah terjadi sebentar tadi. Hai, mengapalah aku ini tidak sahaja turun ketika itu. Bukannya jauh sangat rumah Puan Maznah dengan rumah ayah. Aku rasakan mata ini semakin berat. Aku setkan penggera di telefon bimbit untuk berbunyi pada pukul 3.00 petang. Semoga aku terjaga sebentar nanti. Dan semoga aku mendapat peluang kedua bertemu gadis itu.
No comments:
Post a Comment