Thursday, December 16, 2010

Bab 10


“Amar! Weh, Amar! Bangun la!” Hafizh mengejut aku sambil menunjukkan jam di tangannya. Aku yang masih dalam keadaan mengantuk, hanya mampu melihat, namun masih belum mampu menafsirkan sudah pukul berapa.

“Weh! Bangun la! Dah pukul 4.45 dah ni. Bubur pun dah habis masak dah, diorang dah start distributed dah.” Hafizh menjerit lagi.

Pukul 4.45 petang? Biar betul? Adakah telefon bimbit aku tidak berbunyi sebentar tadi? Tapi, aku memang terbiasa tidak sedar yang telefon bimbit aku berbunyi tiap kali kepenatan. Pernah aku terlepas sahur di bulan puasa akibat tidak sedar bahawa telefon bimbit sudah berbunyi hinggakan enam panggilan daripada mama tidak berjawab. Hampir enam puluh minit mama membebel akibat tidak bangun sahur dan membiarkan dia menunggu selama hampir enam minit di telefon.

Aku bagaikan tersentak terus bangun dengan mengejut. Lalu turun dari katil dan terus meluru ke dapur rumah. Entah apa yang dicari olehku, hampir dua tiga kali aku menawaf meja makan di dapur.

“Oit! Fauzi tunggu dekat depan la, bukan dekat dapur.” Hafizh membebel lagi.

Ya tak ya juga, sepatutnya aku pergi ke pintu depan, bukannya ke dapur. Apa yang sedang aku buatkan di sini? Bukannya ada apa pun di dapur ini. Mengigaukah aku? Apa yang aku mimpikan dalam tidur tadi agaknya hingga terbawa-bawa ke dapur? Mimpi sedang berada di Mekah agaknya. Mungkin sedang menawaf Kaabah.

“Sat la, aku nak pi cuci muka sat.”

Nasib baik aku terpandang sinki dapur. Dapat juga aku mencari jawapan dalam sekelip mata. Aku segera mencuci muka. Ketika hendak menuci muka, aku terdengar Hafizh ketawa.

“Eleh, mengigau taknak ngaku.” Kian galak tawanya itu. Aku hanya mampu tersenyum.

“Jomlah. Kunci rumah ada kat hang ka? Jangan lupa kunci rumah pulak.” Hafizh hanya mengangguk. Selepas mengunci rumah, dia menyertai aku dan Fauzi di dalam kereta.

“Hang pun tak terjaga jugak ka tadi?” Aku bertanya kepada Fauzi.

“Tak ada lah. Aku dah pergi tadi lepas tengok tv kejap. Aku tengok korang tengah tidur, malas pulak aku nak mengganggu, jadi aku pergi la dulu. Sampai kat sana, aku tak sedar yang dah lewat dah. Sampai orang dah nak siapkan bubur dah, baru aku sedar yang korang tak ada kat sana. Itu yang aku balik tu kejutkan korang.”

“Baik tak payah, bubur pun dah nak siap.” Hafizh menyampuk, aku hanya mengangguk dan mengiyakan apa yang Hafizh katakan.

“Tak la, aku pun cadang taknak ganggu korang tidur, tapi ibu dengan ayah ada dekat sana. Then, ayah pun ada tanya pasal korang. Sebab tu aku balik tu.”

“Betoi jugak. Sat lagi, depa ingat kita malaih pulak” Aku tahu dua orang ini sangat faham dengan dialek orang utara kerana mereka sudah tiga tahun berada di Pulau Pinang, sebab itu aku lebih selesa berbahasa dengan mereka menggunakan bahasa ibunda negeriku.

“Tak payah ingat, diorang tengok muka kau je diorang dah tahu kau tu malas.” Hafizh memerliku. Fauzi dan aku turut tertawa.

“Ala, tengok muka hang tu lagi la depa tau.” Aku hanya membalas balik. Hanya itu yang mampu kerana aku masih dalam kekeliruan kerana baru sahaja bangun dari tidur. Memang betul kata orang-orang tua, tidur petang boleh jadi gila. Jika tidak, sudah pasti aku tidak menawaf meja makan di dapur setelah bangun sebentar tadi.

Tidak sampai lima minit, kereta Wira ayah yang dipandu oleh Fauzi memasuki perkarangan rumah Puan Maznah. Memang jelas kelihatan segala bubur lambuk sudah siap dibungkus dan sedang diedarkan. Memang kami agak terlambat rasanya. Selepas turun dari kereta, aku segera mendapatkan pelajar-pelajar lain yang sedang menunggu di tepi jalan di hadapan rumah Puan Maznah. Boleh dikatakan jalan ini adalah jalan besar kerana jalan ini menghubungkan seluruh kampong. Yang ada hanya beberapa orang sahaja. Mungkin yang selebihnya sudah pulang kerumah keluarga angkat mereka akibat penat mengacau bubur. Kami pula penat akibat terlebih tidur.

“Dah ramai ka yang dapat bubur?” aku bertanya kepada Faizal yang sedang menahan sebuah motosikal yang sedang dipandu oleh seorang budak. Aku dapat rasakan budak ini masih belajar di sekolah rendah berdasarkan saiz badannya. Inilah suasana kampong, ibu bapa tidak ambil peduli jika anak-anak mereka menunggang motosikal ketika belum cukup umur. Asalkan mereka tidak melanggar sesiapa, itu sudah cukup. Aku dahulu pun, diajar menunggang motosikal ketika aku berada di dalam darjah empat. Apabila aku sudah berada di dalam darjah lima, aku sudah mampu untuk menunggang sebuah motorsikal buatan syarikat Motorsikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd atau lebih dikenali dengan nama panggilan MODENAS. Motosikal itu ialah Kriss. Jika diikutkan ketinggian aku ketika itu, motorsikal ini sangatlah tinggi hingga memaksa aku duduk di dalam raga jika berhenti. Jika tidak, memang tergolek aku dengan motosikal itu akibat tidak sampai kaki.

“Ramai jugak la. Korang pergi mana?” Faizal bertanya kehairanan kerana sebentar tadi kami hilang seketika.

“Aku ngan Hafizh pi solat sat. Awat?”

“Lamanya hampa pergi solat?” Dia bertanya dengan nada terkejut. Ceh!! Nak tiru loghat utara konon. Baru duduk tiga tahun di Pulau Pinang dah nak berlagak. Sebut “hangpa” pun tak betul.

“Biasala, tok imam mintak kami bersihkan masjid sat.” Aku hanya tergelak dengan lawak yang aku cipta sendiri.

“Lewatnya tok imam korang sembahyang Zohor? Aku tengok korang pergi tadi dalam pukul 2 lebih. Bukan Zohor masuk pukul 1 lebih ke?” Faizal yang dapat menangkap seloroh aku tadi mengajukan soalan yang mematikan gelak tawaku. Bukan aku tidak memahami bagaimana Faizal ini.

“hahaha... Tak adalah. Aku pi balik rumah sat dengan Hafizh and Fauzi. Lepas solat ingat nak tidoq sat, tengok-tengok jam dah pukul 4 lebih. Adeh, terlepas nak tolong hangpa”

“Terlepas ke tersengaja?”

Aku hanya tersenyum sumbing melihat Faizal yang sedang memberikan sebungkus bubur lambuk kepada budak bermotosikal tadi. Memang betul, bukan aku sengaja hendak terlajak tidur. Aku memandang sekeliling khemah dimana tempat bubur lambuk di masak. Aku bagaikan mencari sesuatu, tetapi masih dalam keadaan terpinga-pinga. Mungkin aku masih lagi dalam keadaan mengantuk agaknya. Aku lihat Hafizh dan Fauzi sedang mencuci periuk-periuk yang telah digunakan untuk memasak bubur lambuk. Aku capai beberapa bungkus bubur lambuk untuk sama-sama mengedarkan kepada penduduk kampong yang lalu lalang.

“Awak boleh tolong pegang kamera saya tak?” Aku terdengar suara dibelakang ku. Seperti yang aku duga, suara Zahirah. Seorang gadis dari Johor yang menjadi kawan rapatku ketika aku berada di UiTM Pulau Pinang. Aku mengenali dia setelah ditempatkan dalam kumpulan yang sama ketika membentangkan projek kursus Tamadun Islam.

“Boleh. Awak tak guna ke?” Ketika bersama Zahirah, aku terpaksa mengikut dialek yang dia gunakan. Jika aku menggunakan dialek Utara, aku rasakan sangat kasar baginya. Entah kenapa dengannya aku tidak dapat menggunakan dialek Utara.

“Tak. If awak nak tangkap gambar, tangkap la. Saya tak guna. Tapi malam ni jangan lupa bawakan tau. Untuk aktiviti kacau dodol.”

“Okay.” Selepas aku berkata begitu, Zahirah berlalu pergi ke arah khemah tempat menyediakan bubur lambuk. Aku lihat pelajar-pelajar yang tinggal makin berkurangan. Mungkin semuanya sudah pulang sesudah aktiviti ini. Yang tinggal hanyalah beberapa orang pelajar dari semester ketiga dan beberapa orang sahaja pelajar dari semester ke lima. Itupun, sedang mencuci kawasan tempat menyediakan bubur lambuk itu tadi.

“Muslim dengan Syed dah balik ka dari sekolah?” Aku mengajukan soalan itu kepada Faizal. Aku terserempak mereka di sekolah sebentar tadi ketika pergi melawat mereka di sana. Mereka sedang mengajar pelajar Darjah Enam yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah. Tercengang aku seketika apabila aku memasuki kelas yang mereka ajar itu, dan seorang budak bertanyakan aku sama ada aku ada akaun Facebook atau tidak. Masyaallah, budak berumur dua belas tahun pun ada akaun Facebook, aku pula yang ketinggalan. Masih lagi tidak mahu untuk membuat akaun Facebook. Agak maju rupanya penduduk di Kampung Sungai Serdang ini. Tidak ketinggalan zaman sampaikan budak kecil pun tahu apa itu Facebook.

“Diorang dah balik kot. Sebab aku dah bagi Muslim satu motor.”

Hanya tinggal beberapa bungkusan sahaja lagi untuk diberikan kepada penduduk kampong. Sesudah bungkusan terakhir diserahkan, aku mendapatkan Hafizh dan Fauzi yang masih mencuci peralatan lain yang telah digunakan ketika mengacau bubur tadi. Datang beberapa pelajar perempuan datang untuk membantu mencuci, aku dapat rasakan mereka semua pelajar dari semester kelima kerana aku lansung tidak mengenali mereka. Aku juga turut membantu Hafizh dan Fauzi untuk mencuci. Barang-barang ini diperlukan sekali lagi untuk aktiviti pada malam ini, iaitu mengacau dodol. Bukan senang hendak mengacau dodol ini. Ia memerlukan stamina yang tinggi terutamanya ketika dodol itu sudah hendak masak.

Habis sahaja semua peralatan dicuci dan di letakkan di atas meja dibawah khemah tadi, aku, Hafizh dan Fauzi bercadang hendak pulak. Kami mendapatkan ayah dan ibu yang sedang berbual dengan penduduk kampong yang lain yang turut menyertai program anak angkat ini. Aku lihat jam sudah menunjukkan pukul 6.00 petang. Badanku masih segar dan tidak sepenat seperti yang aku lihat pada Faizal. Mungkin banyak tidur agaknya. Faizal aku lihat sedang menghidupkan motosikal pemberian ayah angkatnya itu. Dia pun hendak pulang juga agaknya, bisik hatiku. Entah kenapa aku rasakan aktiviti pada petang ini macam tidak lengkap. Seperti aku sedang terlepas sesuatu yang aku hajatkan pada petang ini. Apakah yang aku sedang terlupa ini?

Ya Allah! Aku sudah terlupa yang aku ingin bertemu dengan gadis itu pada petang ini.

No comments:

Post a Comment