Wednesday, December 8, 2010

Bab 5


“Kalau awak nak tahu, kedai ini la tempat saya selalu lepak untuk makan dan minum. Saya suka tempat ni sebab sup daging dia sedap.” Kami berjalan seiringan dari parkir kereta menuju ke Restoran Singgahan Rasa.

“Ye ke? Saya selalu jugak lalu ikut sini, tapi tak pernah pun berhenti di sini. Selalu saya melepak dengan kawan-kawan lain dekat Geng.” Dari jauh kelihatan skrin putih menayangkan perlawanan akhir Piala Super di antara Kelantan dan Negeri Sembilan. Pertemuan kali ke dua selepas Kelantan tewan di tangan Negeri Sembilan pada perlawanan Piala Super tahun lalu. Mesti Fauzi dah pergi ke Stadium Bukit Jalil ni.

“Selalu ke datang ke Geng tu?”

“Selalu jugak. Saya suka pergi ke situ. Sebab dekat situ ada banyak budak-budak.”

“Maunya tak banyak bebudak, tengok la restoran tu sapa yang punya.” Kami tertawa bersama. Geng, sebuah restoran yang diasaskan berhampiran studio Les Copaque. Restoran ini berdekatan dengan Tesco Seksyen 13. Les Copaque merupakan sebuah penerbit filem animasi yang popular di tanah air, Upin dan Ipin. Aku jugak meminati filem animasi ini. Comel betul kembar Upin dan Ipin tu. Setelah memilih tempat duduk yang bersesuaian, seorang pelayan datang untuk mengambil order.

“Awak nak makan yang macam mana? Berhidang ke or awak nak yang goring-goreng?”

“Saya tak kisah, saya ikut awak la.”

“Kalau nak ikut saya, saya makan berhidang, tapi saya mana tahu awak ada yang tak makan apa-apa ke.”

“Eh, saya makan je semuanya. Tak ada yang tak boleh makan. Kalau awak ni makanan pun, saya dah makan dah”

 Eh, kenapa nak makan aku pula?

“Boleh je. Makanlah. Makanlah.” Aku cuba mengacah. Kami ketawa bersama-sama. Pelayan yang sedang menunggu pesanan kami menjeling. Marah agaknya bila terpaksa menunggu dan mendengar perbualan kami. Alah, macam la dia tidak biasa bercinta. Macam ini la gelagat orang bercinta. Eh, sedang bercintakah aku? Aku baru je mengenali si dia. “Kalau macam tu, ikut saya je la ek?”

“Okay.” Edrina tersenyum. Manisnya senyuman dia itu. Kalaulah dia tersenyum depan aku yang sedang menunggang motorsikal, boleh ke hospital aku dibuatnya.

“Bagi nasi putih dua, sup daging untuk seorang makan, ayam goreng kunyit.” Aku memandang Edrina, “awak ada nak tambah apa-apa ke?”

“Telur dardar je la.” Sekali lagi dia tersenyum. Ya Allah, terputus jugak jantung aku nanti kalau asyik terpandang dia tersenyum sebegitu.

“Minum?” tanya pelayan itu.

“Bagi saya teh ais.” Aku mengarahkan pandangan aku kepada Edrina yang membelek-belek buku menu. Apalah yang menarik sangat tentang buku menu itu. Bukannya sebuah Novel Lagenda Budak Setan karya Ahadiat Akasyah. “Awak nak minum apa?”

“Awak cakap ikut awak kan tadi? Dah nyanyuk ke tengok saya?” Amboi, kasar lawak Edrina. Tapi aku suka. Aku tersenyum melihat gelagat Edrina yang dapat mengenakan aku. Tersipu-sipu dia tunduk kebawah bila aku menjeling kearahnya. Takutlah tu. Aku memandang ke arah pelayan itu. Ternampak juga senyuman sinis diwajahnya. Hai, baru sekarang kau nak tersenyum? Suka tengok kaum seperti kau dikenakan oleh perempuan? 

“Bagi teh ais dua ye.”

Pelayan itu berlalu pergi selepas mengambil pesanan kami dan semua buku menu. Edrina memandang ke arah jalan. Sesekali pandangannya diarahkan ke arah kereta Myvinya. Senyumannya masih tidak lekang dibibir. Masih terbayang dapat kenakan aku agaknya.

“Sukalah tu ye, dapat kenakan saya?” Aku mencebikkan bibir.

“Why not? Dari tadi awak kenakan saya.” Tawanya makin galak. Aku juga turut serta ketawa bersamanya. Suasana antara kami senyap seketika. “Macam mana awak terniat nak cari saya kat Facebook?”

Aku akui, aku mengenali Edrina melalui sebuah laman sosial Facebook. itupun, atas bantuan Hafizh kerana aku tidak ada akaun untuk menggunakan Facebook. Jika nak diikutkan, bukan kena bayar pun jika aku membuat akaun di Facebook, namun aku tidak berapa gemar dengan laman sosial. Dengan Facebook Hafizh, aku mendapat nombor telefon Edrina. Tapi, susah jugak ketika kali pertama meminta nombor telefon Edrina. Dia meminta sekuntum bunga ros untuk dirinya sebagai bayaran untuk nombor telefonnya. Ya Allah, aku ini baharu sahaja berpindah ke Shah Alam, di manalah hendak aku cari kedai bunga? Kalau cari di Google Maps pun tidak akan ada tertulis arahan ke Kedai Bunga Cik Rokiah.

“Eh, most of Malaysian kan wajibal ghunnah ada facebook? So, awak pun mesti tak terkecuali kan? Ye la, saya nak cari awak macam mana lagi, kalau tak melalui facebook. Saya just tahu nama awak je, then, dari program mana, mana saya tahu.”

“Itulah, saya pun tak tahu nama awak, saya hanya tahu awak budak oil je. Kalau Hafizh tak add saya as a friend kat facebook, sure saya tak dapat jumpa awak lagi kan? Dah la awak tu sombong. Saya tanya sepuluh patah, jawab sepatah je” Edrina tersenyum.

“Eh, bila masa saya sombong? Awak kot yang sombong.” Aku cuba mengimbas kembali segala pertemuan yang tak dijangka antara aku dengan Edrina. Tidak pernah lagi aku jawab sebegitu.

“Betul la. Tak ingat dekat cafeteria tingkat 5?” Edrina ketawa melihat gelagat aku yang keliru itu. Aku mengerutkan dahi cuba mengingatkan kembali kejadian itu. “saya tanya awak kan, awak budak oil ke? Then awak jawab ‘ha ah’ je. Then bila saya tanya part berapa awak jawab part 3.”

“Ha ah, yang itu. Ye la. Maunya saya tak pelik. Bukan ke awak dah tanya saya dulu. Semua soalan itu awak dah tanya saya kan? Dah la saya tengah kusut memikirkan tentang test Basic Mechanic malam nanti.”

Aku terkenangkan kembali pertemuan kami secara tidak sengaja di cafeteria tingkat 5. Memang ketika itu aku sedang memikirkan tentang ujian Basic Mechanic yang akan berlansung pada malam itu. Basic Mechanic bukanlah sesuatu subjek yang senang. Asram yang jugak rakan sebilik aku dari Program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam juga menyatakan subjek ini amat suka untuk dirinya. Melalui Pensyarah aku, Dr Mohd Fauzi,  ramai pelajar yang gagal dalam subjek ini. Aku juga membayangkan adakah aku akan jadi salah seorang dari mereka itu. Mudah-mudahan tidak. Dr Fauzi sangat baik. Dia juga seorang yang kelakar dan pandai berjenaka. Moga dia mendapat taufik dan hidayah untuk meluluskan aku dalam subjek ini. Amin…

Ketika aku sedang mengelamun inilah aku terlihat kelibat Edrina bersama kawan-kawannya yang jugak aku kenali melalui program itu. Mereka sudah membeli dan membayar harga makanan. Selepas meletakkan makanan di meja dan pergi mencuci tangan, aku lihat Edrina berjalan ke arahku. Ketika itulah perbualan itu berlaku.

“Saya jadi pelik tau waktu tu, dalam hati terfikir, ‘eh, kenapa dengan minah ni? Bukan ke dia dah tanya kat aku soalan tu. Takkan dia dah lupa kot.’” Aku tertawa. Edrina juga. Cuba bayangkan, setiap kali bertemu, itulah soalan yang ditanya oleh Edrina pada aku.

“Habis, takkan saya nak pergi pada awak, ‘hey, saya nak nombor telefon awak. Cepat bagi pada saya.’ Maunya awak cakap saya ni gila kan?” tawanya kini makin galak. Namun Edrina masih sopan. Setiap kali dia ketawa, pasti tangannya di menutup mulutnya.

“Eh, apa salahnya kan cakap begitu?" makin menjadi-jadi kami berjenaka. "Edrina, tadi awak ada cakap yang awak selalu datang ke Geng kan? Awak keluar dengan siapa?”

“Dengan Ira and Fatin. Diorang je teman rapat saya. Awak mesti kenal diorang punya. Sama-sama sertai saya sewaktu di program dulu.”

“Rasanya Fatin saya kenal la. Sebab dulu waktu di program, saya minta pinjam laptop pada dia. Ira ni yang mana satu?” Aku cuba membayangkan muka kawan-kawan Edrina yang rapat dengannya ketika program itu.

“Ira ni yang selalu ikut saya kemana saya pergi tu. Perasan tak?”

“Yang mana ye? Tak perasan sangat la awak.”

“Tak apa, nanti saya kenalkan dia dengan awak.”

Berdasarkan pengamatan aku, ada lagi seorang yang rapat dengan Edrina ketika program tersebut. Yang mana, gadis ini lagi cantik. Namun, aku lebih meminati Edrina kerana aku lihat ciri-ciri keibuan ada pada Edrina ketika di program itu. Kecantikan sahaja, mampukah untuk membahagiakan sebuah rumah tangga? Naluri keibuan lahir dari hati yang tulus dan ikhlas. Hati yang tulus dan ikhlas itulah yang akan menjanjikan kebahagiaan untuk selama-lamanya. Namun, adakah hati Edrina sudah dimiliki oleh orang lain? Semoga aku tidak terlambat untuk mengenali Edrina.

No comments:

Post a Comment