Wednesday, December 22, 2010

Bab 12

“Diorang tengah buat apa ni?” Aku mengajukan soalan aku taktakla menghampiri gadis tersebut yang sedang sibuk melayan budak-budak sekolah itu. Bukan aku tidak tahu apa yang mereka sedang lakukan. Tetapi sahaja aku mengajukan soalan itu, berpura-pura tidak tahu. Kamera yang ada aku gunakan untuk berlakon seperti sedang mengambil gambar mereka melakukan aktiviti. Sedangkan kebanyakan gambar aku fokuskan kepadanya. Teruk benar lakonan aku ini.

“Diorang tengah berlatih lagu Pergi Tak Kembali. Esok diorang ada pertandingan nasyid.” Lembut gadis ini menjawab. Sambil tersenyum, dia mengalihkan pandangannya kepada budak-budak yang sedang berlatih ini. Entah mengapa hatiku amat senang setiap kali melihat dia melayan budak-budak itu. Sehingga aku tidak sedar yang aku telah tersenyum sendirian melihat gelagatnya itu.

“Kenapa awak senyum? Ada apa-apa yang tak kena ke?” Sapanya ketika aku sedang asyik melihat gelagatnya.

Aduh, apa yang telah aku lakukan ini? Apa patut aku jawab ni? Tidak mungkin aku hendak beritahu hal sebenar. Gila!

“Saya rasa pelik sikit cara penyampaian diorang ni. Mungkin ada kesilapan pada bahagian korus. Kalau tak silap dalam MP3 saya ada.” Fuh, selamat aku mendengar bagaimana budak-budak ini menyanyikan lagu Pergi Tak Kembali dari Kumpulan Rabbani itu. Memang terdapat sedikit kesilapan pada penyampaian korus. Aku mengetahuinya kerana kumpulan Rabbani adalah antara kumpulan nasyid yang aku gemari selain Hijjaz. Namun, aku tidak tahu bagaimanakah perjalanan kumpulan Rabbani selepas ini setelah pemergian Arwah Ustaz Asri ke Rahmatullah. Semoga beliau bersemadi dengan aman di sana.

“Kalau macam tu, bukalah. Saya nak dengar. Saya sebenarnya tak berapa tahu sangat lagu ini.” Dia tersenyum lagi. Manisnya senyuman itu. Penuh dengan keikhlasan.

“Kejap ye, saya nak cari.” Aku segera mencapai MP3 aku. Betulkah ada lagu ini di dalam MP3 aku? Semenjak bila aku menyimpan lagu itu di dalam MP3 aku? Kalau di dalam computer, adalah. Buatnya tidak terjumpa, malu aku hendak memberitahunya.

“Ini dia.” Aku menghulurkan MP3 aku kepadanya.

Tanpa meminta kebenaran dari aku, dia menarik earphone yang sedang melekat di telinga kiriku untuk didengarinya. Diletakkan earphone itu di telinga kirinya. Panjang earphone itu yang tidak sampai 30 sentimeter, menyebakan aku tertarik kearahnya. Bahu kiri aku bersentuhan dengan bahu kanannya. Jarak diantara kepala kami tidak sampai sejengkal. Jika dia berpusing ke arahku, kemungkinan untuknya tercium pipiku sangat tinggi. Jantungku berdegup kencang. Aku rasakan satu debaran yang amat kuat di dada. Entah-entah dia pun dapat mendengar bagaimana jantungku mengepam darah ke seluruh badan.

“Ha ah la awak. Memang ada sedikit silap pada korusnya.” Dia segera mencabut earphone ditelinganya setelah habis korus pada kali pertama dan menghulurkan kepadaku. Sedangkan lagu ini mempunyai dua korus yang berbeza-beza. Dia sepatutnya mendengar sehingga habis. Mungkin dia menyedari kedudukan kami ketika itu sangat rapat.

“Tak apa la, sedap jugak apa yang awak ajar diorang sekarang ni. Cuma mungkin akan jadi pelik pada orang lain la. Tapi pada saya okay je.”

Okay ke? Aku rasakan amat pelik. Kenapa aku mengatakan okay?

“Tapi, kalau awak nak tukar sekarang pun boleh lagi ni. Masih sempat. Sebab diorang pun masih baru kan?” Aku cuba memberikan cadangan. Baru sebentar tadi aku mengatakan okay, sekarang aku memberikan cadangan untuk mengubahnya pula? Eh, gilakah aku? Tidakkah nanti dia akan terfikir bahawa aku ini siapa untuk mengajarnya. Sedangkan seni lagu itu tidak terbatas, tidak kira bagaimana dipersembahkan, dengan kekreativitian tersendiri. Dalam bahasa mudah, ianya abstrak.

“Tukarlah kot. Takpelah, masih sempat lagi ni.” Dia hanya tersenyum lagi. Hai, tidak takut berkedut ke muka tu asyik tersenyum sahaja?

Memang seperti yang aku cadangkan, dia memang menukarkan semula cara penyampaian lagu itu. Barulah kali ini aku mendengar lagu itu disampaikan seperti yang sepatutnya. Hati aku puas. Akhirnya aku dapat juga berbual dengan gadis ini. Tambahan pula, lebih dari yang sepatutnya. Aku berjaya membuatkan gadis ini mendengar pendapat aku tambahan pula dia mendengar MP3 bersamaku. Sedangkan, kawan-kawan hanya mencabar untuk berbual dengannya sahaja. Namun, adakah mendengar MP3 sebegitu adalah perkara biasa bagi gadis-gadis remaja zaman sekarang? Mungkin juga. Sepanjang berada di Shah Alam selama tiga bulan ini, banyak yang telah aku pelajari tentang masalah social dikalangan remaja di Malaysia masa kini. Berpegangan tangan adalah perkara biasa. Perkara yang paling mengejutkan aku ialah apabila melihat dengan sendiri hubungan sejenis di depan mataku. Apakah ini juga sebahagian daripada pakej yang telah dijanjikan oleh urbanisasi? Jikalau ini hanyalah perkara biasa di sebuah bandar yang membangun, bermakna aku sahaja yang bertepuk sebelah tangan, kata orang syok sendiri, apabila gadis ini mendengar MP3 bersamaku.

“Wei! Mana kamera kau?”

Lamunanku terhenti apabila mendengar satu suara dari belakang. Cantiknya gadis ini. Dia berjalan ke arahku. Memang sangat cantik. Siapakah gadis ini? Adakah dia bertanya kepada aku? Bukankah aku sedang memegang kamera, kenapa nak tanya dimana lagi? Pelik!

“Ni.” Aku hanya mengangkat tangan yang memegang kamera sambil menunjukkan kamera Hazirah.

“Bukan kau lah. Dia.”

Aduh, malunya aku. Mana aku nak sorokkan muka ini. Kenapa aku tidak sedar yang pertanyaannya itu sememangnya ditujukan kepada gadis dihapanku ini. Lerekan matanya juga sememangnya tidak memandang ke arahku. Namun, bukan salahku kerana dia benar-benar tepat dibelakangku ketika dia sedang mengajukan soalan itu.

“Mana kamera kau?” soalnya semula taktala dia sampai kepada gadis yang bersamaku tadi.

“Dalam kereta. Kau pergi la ambil. Aku nak ajar budak-budak ni kejap. Ni kuncinya.” Sambil mengeluarkan kunci dari poketnya, dia masih lagi mengajar budak-budak itu menyanyikan lagu Pergi Tak Kembali. Bagaikan seorang ibu mengajar anak-anaknya tatarakyat. Jikalau aku sudah berkahwin nanti, aku dambakan seorang ibu kepada anak-anakku yang mempunyai naluri yang sebegini. Entah mengapa semenjak umurku menjangkau 20 tahun ini, soal perkahwinan sering bermain difikiran.

Gadis yang memalukan aku tadi telah berlalu pergi. Mungkin hendak pergi mengambil kamera di dalam kereta gadis ini gamaknya.

“Awak, saya pergi ambil gambar dulu ye.” Aku membisikkan kepada dia yang masih leka bersama budak-budak itu.

“okay.” Dia berpaling kearahku dan menghadiahkan sebuah senyuman.

Aku berlalu pergi. Puas! Akhirnya aku dapat buktikan apa yang telah berlaku semalam. Aku memandang kearah kumpulan dodol ayah dan ibu. Masih jauh lagi perjalanan dalam mengacau dodol ini. Dodol masih lagi kelihatan cair. Aku terpandang Hafizh dan Hafizh memandang ku dengan senyuman. Agaknya dia nampak apa yang terjadi antara aku dengan gadis itu tadi.

“Amboi, sampai dengar MP3 bersama ni, apa kes? Kami suruh sembang ja.” Ayat pertama yang terpacul keluar dari mulutnya itu amat melucukan aku.

“Hah! Baru hang tau sapa Amar.” Nadaku bongkak sambil tersenyum. Bukan niatku untuk meninggi diri, namun ini hanyalah sebagai jenaka antara kami. Aku tahu, meninggi diri adalah haram di dalam Islam. Ini kerana sifat ini hanya dibolehkan untuk Yang Maha Esa.

“Dah dapat nombor telefon?” Hafizh mengasakku dengan soalan cepu emas. Gila ke apa? Bukannya sudah lama kenal, baru sahaja sebentar tadi dapat berbual.

“Er... Aku.... Aku tak mintak lagi.” Jawabku dalam nada gagap. Kami hanya berbual beberapa ketika sahaja tadi, itupun disebabkan oleh lagu itu.

“Ceh! Tak hebat la kalau macam tu!” Hafizh mentertawakan aku.

“Ala, hang pi try mintak tengok. Dia bagi ka tak.” Kali ini, aku pula yang mencabar Hafizh.

“Aku malas la. Nanti kalau aku mintak nanti, apa pulak Mira akan cakap. Aku ni, dah la sekali mintak je, terus diorang nak jadi awek. Tengok macam Mira.” Kami ketawa bersama-sama.

“Cait! Sapa yang contact Mira hari tu!? Habaq mai sat! Kalau aku tak buat missed call guna nombor hang, dan tak mesej dia cakap hang minat kat dia, maunya dia tak layan hang.” Riuh suasana di khemah itu dengan gelak tawa antara aku dengan Hafizh. Sesekali orang kampong yang berada di situ memandang ke arah kami. Ibu dan Fauzi yang turut berada di sebelah ayah juga begitu. Tuala good morning yang dipegang ibu sesekali digunakan untuk mengelap peluh di dahi ayah yang sedang mengacau dodol. Romantiknya pasangan ini. Adakah aku juga akan begitu apabila sudah mempunyai isteri nanti? Semoga hubungan ayah dan ibu berkekalan dunia dan akhirat. Amin.

“Sapa nama budak tu?” Hafizh mengajukan soalan yang juga aku rasakan soalan cepu emas. Jikalaulah gadis cantik yang bertanyakan hal kamera itu tadi memanggil dia dengan namanya, sudah pasti dapat aku tahu siapa namanya.

“Entah. Aku pun tak tau. Sembang macam tu ja. Hangpa bukan suruh aku tanya nama dia.” Aku membalas jawapannya dengan apa yang dicabar mereka semalam. Aku rasakan jawapan itu cukup untuk membela diriku dari diperli oleh Hafizh lagi. Namun aku juga ingin tahu siapakah nama gadis itu. Aku memandang kearahnya. Dia masih lagi dikerumuni budak-budak tadi. Mungkin masih lagi membincangkan tentang cara penyampaian lagu itu. Memang dia tidak lokek dengan senyuman. Tapi mengapa semalam mukanya ibarat baboon? Tiada sebuah senyuman pun terukir diwajahnya. Mungkin datang bulan agaknya.

Jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Begitu pantasnya masa berlalu. Namun suasana di rumah Puan Maznah masih lagi riuh rendah bagaikan ianya baru sahaja bermula. Mungkin disebabkan dodol masih lagi belum masak agaknya. Kumpulan yang terdiri daripada puteri UMNO kelihatan amat bersemangat. Mungkin kerana program ini juga merupakan salah satu program anjuran mereka. Budak-budak yang akan menyertai pertandingan nasyid pada keesokan harinya juga sedang sibuk berlatih. Melihatkan gelagat ibu dan ayah mengenangkan aku kepada seseorang. Jikalau dia masih lagi bersamaku, mungkin hal yang sama turut berlaku. Aku mendongak ke langit, kelihatan bintang-bintang tersusun rapi, membentuk buruj-buruj yang dahulunya aku pelajari ketika sekolah menengah. Terlintas monolog Akashah ketika merindukan kekasihnya, Ayu di dalam drama Lagenda Budak Setan.

                “Oh angin, sampaikan salam rinduku padanya.”

Adakah angin yang serupa mampu sampaikan salam rinduku kepadanya? Kerana dunia kami berdua sudah berbeza. Oh Najwa, mengapakah bayanganmu muncul secara tiba-tiba?

No comments:

Post a Comment