“Mana budak batch kita yang lain?” Hafizh mengeluh. Jam sudah menunjukkan pukul 1.00 tengah hari. Matahari kian panas terik. Hanya beberapa orang sahaja yang aku kenali dari budak-budak yang sama semester dengan aku. Namun, semuanya adalah perempuan. Budak-budak lelaki yang ada pun, kebanyakannya dari semester ke lima. Mungkin mereka ditugaskan bersama dengan kumpulan-kumpulan yang akan mengajar di sekolah agaknya. Tetapi, setahu aku, hanya Muslim dan Syed sahaja yang pergi mengajar. Mana Zul dan Faizal?
“Diorang ni, kalau dah nak ponteng tu, bagitahu la awal-awal. Tak payah la kita bersusah payah datang awal macam ni.” Aku mengomel.
“Itu la, bukan nak ajak ponteng sekali.” Fauzi menyampuk. Kami ketawa bersama-sama.
“Eh, budak semalam tak ada pun. Dia satu geng dengan budak-budak yang pergi mengajar ke?” Aku bertanyakan kepada Hafizh. Memandangkan dia lebih rapat dengan aku berbanding dengan Fauzi, aku lebih suka untuk berkongsikan hal-hal sebegini dengannya.
“Budak mana? Yang datang ambil air kat meja semalam tu ke?” Fauzi menyampuk dengan pelat Kelantannya itu.
“Ha ah.” Aku hanya mengangguk.
“Hai, berminat ke?” Hafizh cuba mengusik. Aku memalingkan pandanganku kepadanya. Senyuman terukir diwajahnya memang sinis sekali. Aku tahu apa yang dimaksudkannya itu. Biarlah aku meminati sesiapa sekali pun, bukannya aku suruh kau yang pergi mengurat.
“Tak ada la, saja nak tahu. Iye lah, semalam kan, hangpa cabaq aku sangat nak suruh bersembang dengan dia.” Aku membalas kembali dengan nada sinis.
“Ala, kau memang tak akan dapat bersembang dengan dia punya. Semalam pun dia buat tak layan je kat kau.” Peril Hafizh diiringi dengan gelak ketawa dia dan Fauzi. Patang betul aku.
“Takpe, hangpa tengok nanti. Sebelum aku habis program ni aku akan dapat kenal and bersembang dengan dia.” Aku mendabik dada. Bukan bermakna aku bongkak, cuma aku tak selesa bila mereka mempermainkan aku. Nak diikutkan, bukan aku berminat sangat pun dengan gadis semalam itu.
Pelajar-pelajar perempuan lain sibuk menyediakan bahan-bahan yang akan digunakan untuk membuat bubur lambuk. Aku turut tumpang menyibuk dengan mengupas bawang merah yang hampir seguni banyaknya. Berapa periuk besar agaknya bubur lambuk yang hendak disediakan? Sambil mengupas bawang merah, mataku liar memandang sekitar rumah Puan Maznah. Cantik rumahnya. Mungkin kerana dia seorang usahawan berjaya, sebab itu dia mempunyai rumah yang cantik ini. Menurut ayah, Puan Maznah mengusahakan makanan seperti kerepek dan maruku. Perniagaan Puan Maznah amat berkembang maju. Hasil produk kilang Puan Maznah banyak dipasarkan di sekitar Selangor. Selain itu, Puan Maznah juga turut menerima tempahan dari negeri-negeri lain di sekita Malaysia. Tidak hairanlah mengapa rumahnya begitu cantik sekali di kampung itu. Ayah juga menjadi salah seorang pekerja Puan Maznah. Selain mengusahakan bisnes membuat makanan, Puan Maznah juga seorang yang giat dan aktif dalam berpersatuan. Aku pun sudah tidak ingat persatuan apa yang disertai oleh Puan Maznah. Akan tetapi, yang pasti, kejayaannya itu amat membakar semangat aku.
“Hoi, bila nak habis kalau mata asyik merayap tengok ke lain?” Tegur Hafizh dari belakang.
“Okay la aku tolong jugak, dari hang tu yang duduk saja ja.”
“Mana ada, aku pun tolong jugak tau. Tolong tengok pun kira tolong ni. Penat ni tau tolong tengok”
“Ala... Kesiannya, kesiannya.. Meh sini sayang, meh sini, nak tolong lapkan peluh meh.”
Makcik-makcik dan pelajar-pelajar lain yang berada di situ tertawa melihat gelagat kami. Aku lihat Fauzi sedang sibuk mencuci periuk-periuk yang akan di gunakan untuk program itu nanti. Lebih kurang tujuh periuk semuanya. Banyak juga rupanya bubur lambuk yang ingin disediakan. Pelajar lelaki semester kelima pula ada yang sedang menggoreng bawang dan ada juga yang sedang mencuci udang kering. Jikalau aku yang mencuci udang kering, memang tidak tidur seharianlah aku. Entah apa yang aku takutkan sangat dengan makanan laut ini. Namun, jika dimakan, sememangnya kulit aku akan mengalami sedikit alahan, lebam-lebam dan kegatalan.
“Oit, pergi la tolong nyalakan api dan angkat periuk besar dekat Fauzi tu.” Aku mengarahkan Hafizh pergi menolong Fauzi. Kasihan aku melihat Fauzi keseorangan mencuci periuk dan mengangkatnya ke tempat memasak. Terdapat seorang pelajar lelaki senior, jikalau tidak silap, lelaki ini berada dalam semester ke tujuh, Program Kejuruteraan Kimia, sedang sibuk menolong menggoreng bawang bersama seorang pelajar perempuan. Kalau tak silap aku, lelaki itu penduduk kampung ini juga. Dia jugalah yang mencadangkan program anak angkat ini dijalankan di kampung ini. Dan menurut perbualan aku dengan salah seorang pelajar senior yang sebaya dengan perempuan yang membantunya itu, perempuan itu merupakan kekasihnya. Hai, bahagianya mereka. Tapi bagi aku yang tiada kekasih ini, nak menyampah pun ada.
Kedengaran bunyi deruman enjin motor Honda EX5 dan Honda Wave ke arah khemah tempat kami mengupas bawang. Baru nak datang Zul dan Faizal. Aku menyelok poket untuk mengambil telefon bimbitku. Jam sudah menunjukkan pukul 1.45 tengah hari.
“Kenapa tak datang tahun depan je?” Hafizh bersuara sambil mengangkat periuk yang telah di cuci untuk diletakkan di dapur memasak.
“Oit, bebaik sikit. Kami sampai awal lagi dari hangpa. Hangpa tu yang lewat.”
“Hang sampai pukul berapa?” Aku pula bersuara tidak puas hati.
“Kami sampai dalam pukul sebelas tadi. Sorang pun tak ada lagi.” Faizal menjawab. Mereka berdua berjalan seiringan selepas mematikan enjin motosikal ke arah aku yang masih lagi mengupas bawang.
“Kan dah bagitahu semalam yang aktiviti start pukul 12.30? Awat yang hangpa tak mai selepas subuh? Boleh jugak tolong potong rumput-rumput rumah Puan Maznah ni.” Aku cuba berseloroh.
“Itu la, kami memang cadang nak datang lepas waktu subuh, nak tolong potong rumput ni, tapi, Puan Maznah cakap tak payah susah-susah. Tu yang tak jadi tu. So, kami datang la pukul 11.” Kesemua yang ada disitu tergelak melihat gelagat aku, Zul dan Faizal.
“Hangpa dari mana?”
“Dari sekolah. Tengok budak-budak tu mengajar kejap.”
“Banyak ke orang? Diorang tengah buat apa sekarang?” Motosikal sudah ada. Jika nak diikutkan, sekolah itu bukanlah jauh sangat. Dekat jugak. Lebih baik aku naik motosikal daripada aku pergi dengan kereta ayah.
“Tak la banyak sangat. Budak-budak tingkatan tiga, empat dan lima dengar Madam Lina bagi ceramah. Budak-budak darjah enam sedang belajar.”
“Semenjak bila Madam Lina ambil kursus motivater?” Hafizh tergelak di belakang bila mendengar jawapan yang diberikan oleh Faizal. Memang betul, banyak rungutan yang aku dengari tentang Madam Lina tentang cara pengajaran yang disampaikan olehnya, tapi mengapa aku boleh sahaja menerima apa yang diajarkan olehnya? Dan, kenapa pula aku boleh mendapatkan gred yang cemerlang bagi subjek Madam Lina ketika di UiTM Pulau Pinang dulu? Sebelum dipindahkan ke Shah Alam, memang Madam Lina mengajar subjek Physics di UiTM Pulau Pinang kepada aku dan kawan-kawan yang lain termasuk Hafizh. Dahulu, Hafizh bukan sekelas dengan aku pun. Semenjak mendapat program yang sama di UiTM Shah Alam ni yang membuatkan aku dan dia rapat.
“Okay apa Madam Lina bagi ceramah. Aku tengok dia ajar pun okay je. Hangpa je kot yang tak faham and tak mahu tanya dia” Aku menyampuk kembali. Membela Madam Lina sebagai seorang warga pendidik. Lagipun, tidak elok jika seorang pelajar memperlekehkan pengajarnya. Ilmu yang diperolehi olehnya tidak akan menjadi berkat.
“Iye la.” Hafizh kembali menyambung kerjanya setelah lawak yang dia cuba lakukan dipintas olehku. Maaflah Hafizh, bukan aku sengaja berbuat demikian, tetapi ini juga untuk kebaikan kau di masa akan datang. Bukannya tidak boleh kau hendak berlawak, tetapi, biarlah berpada-pada.
Melihat Hafizh yang seakan merajuk, aku terfikir untuk memujuknya dengan mengajak Hafizh pergi ke sekolah rendah di sana. Lagipun, boleh juga aku perhatikan sama ada gadis semalam itu ada di sana atau tidak kerana sepanjang berada di sini, aku memang tidak pernah nampak gadis itu walau sekali pun. Hendak bertanya kepada senior-senior yang ada, aku bukan tahu nama dia. Lebih baik aku pergi cari sendiri.
“Wei Hafizh, jom pi ke sekolah jom. Hang tinggalkan ja apa yang ada tu bagi dua orang mangkuk ni pulak buat.” Faizal dan Zul menjeling kearah aku. Amboi, sedap betul bahasa aku gunakan. Buatnya ada mak cik-mak cik di sini yang sudah berkenan dengan kehenseman aku untuk dijadikan menantu, terus terbantut niat mereka.
“Jom.” Uish! Cepatnya menjawab. Pantang diajak tidak buat kerja, cepat sahaja.
“Wei, bak sini kunci motor. Kami nak pi berjalan pulak. Turn hangpa pulak buat kerja.” Aku hanya ketawa kecil. Enjin motor ku hidupkan. Dan kami meluncur laju ke arah sekolah.
No comments:
Post a Comment