“Awak, saya tak tahu bagaimana nak keluar dengan awak. Motor saya problem. Ekzos patah. Maaf awak.”
Aku terbaring seketika setelah menghantar mesej pesanan ringkas itu kepada Edrina Sofia. Agak penat aku hari ini. Perjalanan dari Sungai Petani ke Shah Alam amat memenatkan. Sepatutnya aku perlukan hanya 2jam 45minit sahaja untuk aku tiba di Shah Alam. Dalam pukul 6, aku sepatutnya sudah tiba di Kolej Jati, UiTM. Namun insiden ekzosku patah tadi memang memenatkan aku. Masa perjalanan juga menjadi lambat. Aku tiba di Kolej Jati dalam pukul 7.15 petang. Sudah hampir waktu maghrib.
Aku melihat telefon bimbitku, jam menunjukkan pukul 7.45 petang. Sedang aku ingin terlelap, tiba-tiba aku dikejutkan dengan bunyi telefon bimbitku. Edrina agaknya. Sangkaanku tidak meleset. Memang bunyi itu adalah mesej dari Edrina.
“Tak apela awak. Saya ambil awak ye. Tapi awak boleh drive tak? Sebab saya sakit kepala la.”
Eh, tidak sihat pun nak keluar lagi ke? Peliknya. Sepatutnya temujanji pada malam ini akan berlaku pada 8 November. Aku bercadang hendak keluar dengan dia selepas segala kertas peperiksaan aku tamat. Lagipun, aku juga tidak mahu menggangu Edrina dalam minggu ulangkaji yang diberikan UiTM sebelum memasuki minggu peperiksaan. Namun ketika pulang bercuti hari itu, aku rasakan tidak sabar untuk berjumpa dengan Edrina.
“Tak susahkan awak ke? Iyela, awak kan tak sihat.”
Aku meletakkan telefon bimbit di meja tempat aku belajar. Aku memandang ekzos motorku yang aku letakkan di atas katil. Kenapalah diwaktu begini baru kau buat hal wahai ekzos? Jika tidak menjadi masalah, cadangnya aku ingin berjumpa Edrina dengan motorku saja. Ini kerana Edrina sangat berminat dengan motorku. Entah apa yang dia berkenan sangat dengan motorku itu. Aku tersenyum memikirkan hal itu.
“Takpe la awak. Saya okay je. Pukul 8.30 nanti saya sampai okay.”
“Baik awak.”
Aku kembali meletakkan telefon bimbitku ke meja study. Aku tersenyum sendirian. Aku lihat katil Asram masih kosong. Belum pulang agaknya. Mesti dia pergi bertemu janji dengan kekasihnya, Nabila. Kalau dia pulang nanti, habislah aku. Pasti digelakkannya jika melihat ekzos motorku diatas katil. Aku tidak dapat membayangkan Asram gelak. Selalunya Asram dengan akulah yang selalu meriuhkan suasana di bilik kami. Aku terkenangkan kembali suasana ketika berada di program tersebut.
“korang budak mana eh? Budak pure ke?” suara gadis itu yang mengambil segelas polysterin lalu mengisi air. Pure adalah singkatan bagi kursus Kejuruteraan Kimia. Mungkin disebabkan ianya adalah program utama Fakulti Kejuruteraan Kimia.
“takla kami budak oil” jawab Zul yang berada bertentangan dengan gadis itu. Oil pula adalah singkatan bagi kursus yang aku ambil. Zul ini orang Pulau Pinang. Tinggi orangnya.
“haah, kami budak oil. Budak mana ek? Nama apa?” aku pula cuba menyampuk. Ternyata aku dibiarkan dalam tertanya-tanya. Bagaikan aku tidak wujud disitu, dia berlalu pergi selepas mengisi penuh air kedalam gelas polysterene di tangannya. Sombongnya dia. Bisik hatiku.
“Amboi Amar, nak cucuk jarum ke tanya nama? Dah la tak dilayan.” Celaka kau Zul. Semua yang berada berdekatan dan melihat aksi itu menggelakkan aku. Merah padam mukaku disitu.
“Ala… dia tak dengar lah tu. Bukan dia taknak layan. Kalau korang tak percaya, tunggu nanti.” Aku mencabar diorang. Niatku bukanlah hendak mencabar. Aku hanya ingin mengenali gadis itu sahaja. Aku segera menghirup minuman ditanganku. Sambil aku cuba tersenyum memikirkan bilakah agaknya aktiviti pada malam ini akan berakhir. Aku lihat, abah bersembang dengan penduduk Kampong Sungai Serdang yang lain yang turut hadir menghantar anak-anak angkat mereka. Sesekali beliau menguap. Mengantuk agaknya. Aku keluarkan telefon bimbitku untuk melihat jam. Ternyata sekarang adalah waktu untuk tidur. Jam sudah pun menunjukkan pukul 11.45 minit malam. Aku mengelamun memikirkan bagaimana aku hendak mendekati gadis itu pada keesokan harinya.
No comments:
Post a Comment