Sebelum melihat kepada penyelesaian, kita perlu untuk mengetahui bagaimana gejala bosan di dalam perhubungan ini terjadi. Tanpa mengetahui punca-punca kepada sesuatu itu terjadi, bagaimanakah kita mahu mencegahnya? Sedangkan mencegah itu lebih baik daripada mengubati penyakit yang telah pun menular.
Bagi pasangan suami isteri, kekasih mahupun teman akrab, perkongsian adalah sesuatu yang penting di dalam perhubungan. Melalui perkongsian, mereka akan tahu dan lebih memahami pasangannya. Namun, adakalanya perkongsian amat merimaskan pasangannya. Sejauh mana ianya merimaskan itu bergantung kepada sejauh mana teman-teman ini ingin berkongsi. Jika pasangan hanya ingin berkongsikan hal-hal yang sekarang, dan bukan sesuatu yang sudah lepas, jangan bebankan dia dengan mengajukan soalan-soalan tentang dirinya yang dahulu.
Perasaan ingin tahu apa yang pasangan sedang lakukan juga merupakan salah satu daripada cabang perkongsian. Mengambil berat dengan bertanya kepada pasangan dapat menunjukkan betapa kita menyayangi mereka. Tanpa kita ketahui dan sedar, sifat ingin tahu apa yang pasangan kita lakukan boleh merimaskan mereka. Mengapa kita tidak membiarkan sahaja agar mereka memberitahu kepada kita tentang perbuatan yang mereka lakukan? Benda ini terjadi apabila kita tidak mempercayai mereka.
Kepercayaan adalah seperti sehelai kertas. Setelah kertas itu renyuk, pasti tidak akan kembali sempurna seperti asalnya. Pasti akan ada juga sedikit kesan yang tinggal akibat dari renyukan itu. Hal yang sama turut berlaku kepada kepercayaan. Setelah sekali ia musnah, sukar untuk dia kembali seperti sedia kala. Oleh sebab itulah kepercayaan kepada pasangan sukar untuk dibina terutamanya pasangan yang pernah mengalami masalah di dalam perhubungan.
Perasaan mengongkong ini adalah sesuatu yang kita dapat lihat daripada sudut mereka yang perlu memberitahu setiap gerak geri yang mereka lakukan. Namun, adakah mereka pernah melihat dari sudut kita yang ingin mengambil berat terhadap mereka? Jika kita hanya berfikir untuk sebelah pihak, kita tidak akan mampu memahami situasi mereka. Untuk memahami situasi ini, kita perlu menyelami perasaan kedua-dua belah pihak.
Untuk mendapatkan win-win situation, kita perlu sama-sama mengalah di dalam hal ini. Bukanlah tidak boleh untuk mengambil berat, cukuplah sekadar bertanya pasangan berada di mana, kemana dia pergi, dan bersama siapa. Tidaklah perlu sentiasa bertanyakan kepadanya atau mengganggu masanya untuk beriadah. Adakah kita suka apabila masa beriadah kita diganggu? Tentu tidak bukan? Jadi perkara yang sama berlaku di sini.
Dalam masa yang sama, luangkanlah sedikit masa untuk memberitahu kemana kita hendak pergi kepada pasangan kita. Bukanlah mengambil masa sehingga dua atau tiga jam untuk memberitahu hal ini. Hanya beberapa minit sahaja. Hal ini bertujuan untuk tidak membiarkan dia mengajukan soalan yang bertubi-tubi. Bukankah kita tidak suka apabila ditanya bertubi-tubi benda remeh temeh?
Di dalam masa yang sama, dengan berbuat begitu dapat memupuk sifat kepercayaan pasangan kepada kita. Telefon kepadanya jika dia berada begitu jauh sehingga tidak dapat memberitahunya secara berhadapan. Lupakan sebentar perasaan kedekut dengan kredit yang ada. Dia pasangan anda, bukannya orang asing. Jangan samakan dia dengan orang asing, agar suatu hari nanti dia tidak mencari orang asing menggantikan diri anda di dalam hidupnya.
No comments:
Post a Comment