Saturday, December 11, 2010

Bab 7

“Aku keluar dengan Edrina semalam.”

“Kau biar betul?” Hafizh tersedak mendengar apa yang aku tuturkan. Hampir tersembur air yang diminumnya itu. Aku yang bagaikan mengerti apa yang akan terjadi, sudah menyediakan buku nota Fluid Mechanics Hafizh sebagai penepis. Agak ramai juga pelajar yang pergi minum di kafeteria pada pagi ini. Kelas Puan Nurhidayati pada pukul 10 pagi ini dibatalkan, sebab itu kami sama-sama pergi minum di cafeteria tingkat 5 itu.

“Itula, aku dah cakap kan hari tu, kalau aku nak, boleh je dapat.” Kembang kempis hidung aku melihat Hafizh yang terbeliak biji matanya. Aku teringat kembali kata-kataku kepada mereka ketika program tersebut. Bagaimana mereka mentertawakan aku, membuatkan aku tidak patah semangat untuk terus mengenali Edrina Sofia. Jikalau tidak dicabar oleh mereka ketika itu, sudah tentu aku tidak akan mengenali Edrina Sofia. Tambahan pula dengan sikap diriku ini yang lansung tidak pandai untuk bermain ayat-ayat cinta.

Hari kedua berada di kampong ini memberikan suasana nyaman kepadaku. Selama lebih dua bulan berada di Kolej Jati, tidurku senantiasa diganggu oleh bunyi unggas-unggas besi yang tidak faham akan waktu malam adalah waktu untuk orang tidur. Agaknya, kenderaan mereka sahaja yang dilengkapi dengan system hon. Sebab itulah mereka selalu membunyikan hon terutamanya di Bulatan Bestari. Alunan muzik hon ini selalu aku hayati ketika waktu pagi dan tengah hari, di mana rakyat-rakyat Shah Alam mula keluar pergi bekerja. Lebih mengasyik dan memerdukan apabila ianya ditune dengan suara sumbang ekzos bising mereka. Ah, aku pun sama. Ekzos motor aku pun bukanlah senyap sangat jika dibandingkan dengan motor-motor lain. Sengaja aku biarkan begitu demi keselamatan.

Mandi di rumah ayah angkat amat menyegarkan. Air kolah yang sejuk itu amat mendinginkan. Menggigil juga aku apabila mencedok air untuk dijirus dibadanku ini. Namun ku gagahkan juga. Sambil mandi aku membayangkan wajah gadis semalam yang tidak menjawab soalan aku itu. Adakah dia tidak mendengar soalan aku atau sememangnya dia sombong? Mungkin dia tidak mendengar agaknya. Lagipun suasana ketika itu agak riuh rendah dengan gelak ketawa dari kawan-kawanku yang lain. Entah apa yang mereka bualkan itu hingga membuatkan gadis itu tidak mendengar pertanyaan aku. Sakit hati aku dibuatnya semalam. Namun tidak mengapa, aku masih mempunyai masa selama dua hari lagi berada di kampong ini. Semoga dua hari ini aku dapat manfaatkan sepenuhnya untuk mengenali gadis itu. Mengikut perancangan semalam, para peserta akan dibahagikan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan akan pergi mengajar di sekolah. Manakalah satu kumpulan lagi akan pergi mengacau bubur lambuk. Aku ditempatkan di dalam kumpulan yang akan mengacau bubur lambuk. Adakah hari ini dia akan sekumpulan dengan aku? Kalau sekumpulan dengan aku, bererti peluang untuk aku mendekatinya selepas ini semakin cerah. Kalau dia ditempatkan di kumpulan yang akan mengajar, bererti, dia akan pergi ke sekolah. Aku sangat berharap agak dia ditakdirkan sekumpulan dengan aku. Kalau tidak, melepaslah peluang aku untuk mengenali dia. Siapakah agaknya nama gadis itu?

“Engkau nak mandi ke nak main air?” terdengar suara Hafizh berkumandang di luar bilik air. Aduh, mengganggu betul la Hafizh ni. “Dah nak dekat pukul berapa dah ni. Kejap lagi kita kena pergi kacau bubur lagi”. Hai, semenjak bila engkau berminat dengan aktiviti sebegini Hafizh? Bukan ke kau menyertai program ini atas desakan aku.

“Kejap la. Kacau daun betul la hang ni.” Aku merungut dari dalam bilik mandi. Aku segera mempercepatkan mandianku. Lagipun, sebentar lagi, azan subuh akan berkumandang. Mungkin aku akan menjadi imam sekali lagi. Geram juga aku kepada Hafizh dengan Fauzi, asyik aku sahaja yang mengalah untuk jadi imam. Ayah pula, sengaja membiarkan kami menjadi imam setiap kali solat. Mungkin dia ingin menguji ilmu-ilmu agama kami agaknya.

“Lamanya kau mandi. Mandi apa? Mandi wajib mimpi perempuan semalam tu?” Hafizh mengusik aku setelah melihat aku membuka pintu bilik mandi. Ah, biarlah jikalau aku hendak bermimpikan gadis semalam sekali pun. Bukan aku masuk dalam mimpi dia.

“Perempuan mana pulak ni?” Ayah menyampuk dari belakang. Ketika itu ayah sedang berbual dengan ibu yang sedang menyediakan sarapan pagi. Bilik mandi yang terletak tidak kurang dari sepuluh meter dari dapur memang tidak akan menghalang ayah untuk mendengar perbualan kami.

“Tak ada la ayah. Diorang ni sengaja.” Celaka kau Hafizh. Aku menarik tuala yang mengikat pinggang dia. Hampir terlondeh dibuatnya. Cepat-cepat Hafizh memegang tualanya itu dan memperbetulkan semula. Sambil itu dia marah kepada aku.

“Hoi! Hoi! Nak kena ke?”

Aku ketawa lalu melarikan diri ke bilik. Ayah dan ibu yang melihat telatah kami hanya tersenyum. Baru semalam berada di rumah ayah, ibarat sudah berada di rumah sendiri. Sungguh baik layanan ayah sekeluarga.
Di dalam bilik, Fauzi ternyata sudah bersiap dengan pakaian baju melayu dan kain pelikat. Hari ini dia yang paling awal bangun. Dia jugalah yang mengejutkan aku sebelum dia pergi mandi tadi. Aku segera bersiap. Lebih kurang dua puluh minit kemudian, kami sama-sama menunaikan solat subuh berjemaah berimamkan aku. Aku tidak pasti surah apa yang patut aku baca. Kalau berseorangan, selalunya aku baca surah pendek sahaja. Kali ini terpaksalah aku gilap semula ingatanku untuk membaca surah Al-Fajr. Banyak pengajaran yang terdapat di dalam surah ini.

“Hari ni, kamu semua kena pergi ke mana? Sekolah atau pergi dekat rumah Puan Maznah?” Ayah memulakan perbualan di meja makan. Ibu pula sedang mencedok nasi goreng ke dalam pinggan ayah.

“Kalau ikut kumpulan kami, kami kena pergi kacau bubur depan rumah Puan Maznah tu.” Fauzi bersuara sambil menghirup teh o panas di dalam cawan dihapdannya. Sesekali ternampak dia mengibas-ngibas bibir mulutnya. Masih panas agaknya teh itu.

“Pukul berapa dia mula? Agak-agak, dalam pukul berapa habis semua aktiviti kacau bubur tu?” Ayah bertanyakan tentang jadual aktiviti. Mungkin ayah sibuk pada petang ini dan tidak dapat mengambil kami di rumah Puan Maznah, sebab itu ayah perlu tahu pukul berapa aktiviti mengacau bubur lambuk itu akan tamat. Tetapi, jikalau ayah tidak dapat ambil kami di rumah Puan Maznah sekali pun, kami boleh berjalan kaki pulang. Rumah Puan Maznah, usahawan Kampung Sungai Serdang itu bukanlah jauh sangat dari rumah ayah. Lebih kurang 400 meter sahaja.

“Mula rasanya dalam pukul 12.30 tengah hari. Habis mungkin petang agaknya. Tapi, tak pasti pulak pukul berapa habis. Sebab diorang nak bahagikan bubur pada penduduk kampong yang lalu dekat situ.” Aku pula cuba untuk menyampuk.

“Kalau macam tu, kamu bawak sahajalah kereta Wira tu. Ayah bawak Myvi je pergi kerja sekejap lagi.” Ayah bangun lalu pergi mengambil kunci kereta Proton Wira. Biar betul ayah ini? Baru sehari bersama, dia sudah percayakan kami ibarat anaknya sendiri. Ini peluang baik untuk aku pergi melawat ke sekolah rendah untuk program yang satu lagi itu sebentar lagi. Mana tahu, jika gadis yang mengambil minuman semalam itu berada di sekolah, dan tidak sekumpulan dengan aku. Aku memandang ke arah Hafizh dan Fauzi. Kedua-dua mereka tersenyum. Aku turut tersenyum.

“Ibu tak makan sekali ke?” aku bertanya kepada ibu setelah melihat ibu beredar dari meja ke ruang tamu. Aku terperasan jam di dinding sudah hampir pukul 7 pagi. Awal lagi jika hendak pergi ke rumah Puan Maznah walaupun sesudah habis kami bersarapan nanti.

“Ibu baru lepas makan tadi waktu kamu semua tengah baca doa. Ibu nak baca surat khabar sebentar.” Jawab ibu sambil tersenyum.

Hafizh sibuk mennyuapkan nasi goreng kemulutnya. Lapar sangatkah? Sedangkan sebelum tidur semalam, dialah yang paling banyak makan. Tapi hairan kenapa dia tidak membesar. Lagi kecil dari aku adalah. Mungkin kadar metabolisme dalam badannya tinggi, disebabkan itu dia banyak menggunakan tenaga agaknya.

“Nah kunci ni.” Ayah menghulurkan kunci kereta kepada Fauzi. Aku hanya menjeling melihat Fauzi mengambil kunci kereta. Pandanganku lebih tertumpu kepada juadah yang tersedia di atas meja makan. Fikiran aku pula sedang memikirkan bagaimana aku boleh mendekati gadis itu sekali lagi. Pantang betul aku bila memikirkan hal aku ditertawakan oleh kawan-kawan aku semalam. Bukanlah aku ini jenis pantang dicabar. Aku Cuma ingin buktikan bahawa gadis semalam bukanlah tidak mahu menjawab melayan aku, tetapi dia tidak mendengar soalan yang aku utarakan kepadanya. Namun, jauh disudut hati, aku rasa berdebar. Tidak pernah lagi aku rasakan sebegini. Apakah yang patut aku lakukan jika aku berdepan dengannya nanti?

No comments:

Post a Comment