Saturday, December 4, 2010

Bab 4


Aku melihat jam di telefon bimbitku. Eh, sudah pukul 8 malam. Dalam 30 minit lagi aku perlu tunggu Edrina di pintu pagar Kolej Jati. Aku perlu bersiap sekarang. Kalau tidak, memang tertunggu Edrina akan kehadiran aku. Aku tidak mahu dilihat Edrina sebagai seorang yang tidak menepati waktu. Tambahan pulak ini kali pertama kami berjumpa. Aku tersenyum sendirian sambil mencapai tuala. Kalau Asram ada di sini, semestinya bertalu-talu soalan yang akan diajukannya kepadaku jika dia melihat aku tersenyum sendirian begini.

Air pancuran menerjah-nerjah ke badanku. Terasa nyaman sekali. Alangkah nyamannya jika dapat berenang dan berendam dikala penat seharian menunggang motorsikal sepetang tadi. Kalau aku balik ke Sri Alam yang berada di Seksyen 13, sudah pasti sesampainya aku di rumah aku akan menyarungkan pakaian renangku. Selalunya hobi berenang aku ini aku lakukan diwaktu petang, setiap hari jika aku pulang ke Sri Alam. Dengan berenang, aku dapat menenangkan segala kekusutan yang ku alami.

Aku menutup pili air pancuran. Air mula berhenti menerajang tubuhku. Selesai mandi, aku mula mengenakan pakaian. Mujurlah segala pakaian telah aku hantarkan ke kedai Dobi Mesra yang terletak di Seksyen 7. Wangi betul pakaian-pakaian aku yang dicuci di situ. Disebabkan selalu menghantar pakaian ke situ, pengusaha kedai dobi itu telah mengenali aku. Sehinggakan aku tidak perlu lagi memberikan namaku untuk ditulis dalam resit. Kedai ini Asramlah yang perkenalkan kepada ku. Harga yang dikenakan oleh kedai ini juga amat berpatutan.

Jam di telefon bimbit sudah menunjukkan pukul 8.25minit malam. Dalam lima minit lagi, pasti Edrina Sofia akan tiba di pintu pagar Kolej Jati. Aku patut bergerak sekarang ke pintu pagar Kolej Jati.

Aku lihat ke arah parkir di mana aku meletakkan motor aku. Masih tidak kelihatan motor Asram. Memang betullah dia keluar bersama Nabilah. Biarlah. Sekurang-kurangnya dia tidak tahu dan bertanya ke mana aku hendak pergi. Jenuh aku hendak menjawab nanti.

Alamak, tertutup pulak pintu utama. Terpaksalah aku berjalan agak jauh sedikit untuk ke Pintu Kedua. Memandangkan bilik aku berada di Blok A yang berdekatan dengan Bulatan Bestari, Pintu Utama adalah pintu paling dekat untuk aku keluar dari kolej. Selalunya beginilah yang akan terjadi. Menjelang malam, pintu pagar utama akan dikunci. Hanya pintu pagar kedua yang akan dibuka. Namun, kenapa malam ini pintu pagar utama dikunci sebegitu awal? Sengaja betul la pak guard kolej ni nak menyusahkan aku. Nak bagi aku berjalan jauh dan berpeluh. Busuk aku nanti depan Edrina. Habislah langkah pertama aku. Aku mengerut dahi.

Aku rasakan getaran di dalam poket seluarku. Mesej dari Edrina agaknya. Sangkaanku memang tidak pernah meleset. Mahunya tidak meleset, semenjak mengenali Edrina Sofia, hanya dia sahaja yang sentiasa menghantar SMS kepadaku.

“saya dah sampai”

Ringkas mesejnya. Namun mampu membuatkan aku tersenyum sendirian. Tapi hatiku tetap merasakan gelisah. Adakah Edrinda sudah lama menunggu aku? Habislah aku jika dia sudah lama menunggu aku.

Aku terpandang sebuah kereta Myvi yang aku kenali. Terparkir di tepi jalan bersebelahan pintu pagar kedua kolej. Kereta inilah yang aku lihat di program anak angkat yang aku sertai dulu. Kelihatan pemandunya melambai-lambai dari dalam kereta lalu membuka pintu kereta. Terpacaklah  sesusuk tubuh di tepi pintu kereta. Sesusuk tubuh itu kemudiannya berjalan ke arah kiri kereta dan membuka pintu tempat duduk penumpang bahagian depan. Namun dia tidak terus masuk ke dalam kereta. Sebaliknya seperti menunggu ketibaan aku di kereta itu. Ibarat orang kenamaan pula aku ini. Ayu sungguh Edrina Sofia pada malam ini. Bertudung biru pudar dan berbaju blouse purple. Senyumannya masih belum lokek dari bibirnya yang mungil itu.

“Assalamualaikum.” Aku memberikan salam sebaik tiba di kereta. Senyuman dan salamku di sambut Edrina dengan mesra.

“Waalaikumussalam.” Senyuman ikhlasnya masih terukir di bibir. “Awak drive ye.” Pinta Edrina penuh sopan santun. Aku hanya mengangguk sambil membalas senyumannya. Kami sama-sama masuk ke dalam kereta.

“Er, kita nak pergi makan di mana ni?” Aku memulakan perbualan ketika kereta mula meluncur untuk memasuki jalan raya.

“Ikut awaklah. Saya tak kesah. Tapi kalau boleh, kita pergi jauh sedikit. Saya ingat nak release tension sikit lepas siapkan Plant Design semalam.” Aku faham keadaannya. Sudah beberapa hari dia bermalam di Laman Minda di tingkat 11 Fakulti Kejuruteraan Kimia. Plant Design bukanlah suatu kerja yang mudah. Ianya memerlukan kerja berkumpulan dan kemahiran yang pelbagai, dari melakar sebuah reactor hinggalah mengira kos perbelanjaan untuk membina dan menggerakkannya. Aku sempat bertemu dengannya sebelum aku pulang ke Sungai Petani dua hari lepas. Dan aku dapat lihat betapa tidak terurusnya dia. Dalam bahasa mudah, comot. Namun pertemuan itu hanya singkat sekali.

“Kalau macam tu, kita makan dekat Seksyen 13 lah. Dekat Singgahan Rasa.” Aku memandang Edrina. Dia tersenyum memandangku.

“Saya ikut awak.” Edrina memandang ke arah jalan raya semula. Kali ini senyumannya terhenti. Marahkan aku lambatkah?

“Maaflah ye tadi kalau dah buat awak tertunggu dengan begitu lama.” Aku cuba untuk meminta maaf dari Edrina. Sambil itu, aku cuba menunjukkan muka kasihan demi mendapatkan kemaafan dari Edrina. Tidak salah bukan?

“Eh, tak ada la awak. Waktu saya sampai tu, terus saya hantar mesej kepada awak. Then, tak sampai seminit, saya dah nampak kelibat awak berjalan. Kiranya saya tak sempat nak berehat sekejap, awak dah sampai.”

“Lebih dari dua marhalah ke Baiduri tu ke Kolej Jati yang penat sampai perlukan rehat?” aku memandang Edrina. Edrina menjeling tajam kearah ku. Mengerti dirinya diperli, kami ketawa bersama-sama. Aku suka mendengar Edrina ketawa. Comel seperti dirinya.

Kereta Edrina ku pandu menuju Seksyen 13.

No comments:

Post a Comment